![Img 20250208 003736 739](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250208_003736_739.jpg?v=1738946782)
PEMENANG ANUGERAH PEMBANGUNAN MELAKA JADI ‘ROLE MODEL’ AGENSI DAN JABATAN
BANDA HILIR 8 Februari – Pemenang Anugerah Pembangunan Negeri Melaka dijadikan ‘role model’ atau suri teladan dalam memastikan pengurusan projek pembangunan yang lengkap dan cemerlang kepada jabatan serta agensi di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad berkata majlis anugerah itu bertujuan mengiktiraf komitmen warga kerja jabatan dan agensi dalam membudayakan pengurusan projek yang baik.
Katanya, diharapkan penganjuran majlis anugerah itu akan menerima lebih banyak penyertaan daripada jabatan dan agensi pada masa akan datang.
“Menerusi platform seumpama ini pihak berkepentingan dapat mengetahui lebih terperinci mengenai projek atau program yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi.
“Penganjuran anugerah ini menyuntik budaya yang penting bagi memastikan keseluruhan proses pembangunan dapat dinilai daripada pelbagai sudut khususnua aspek pengurusan projek dan ‘outcome’ projek yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mythen Kunju Basheer; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Azhar memaklumkan Kerajaan Negeri menerusi rekod sistem Melaka Monitor telah berjaya melaksanakan sejumlah 2,205 projek pembangunan membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM392 juta sepanjang tempoh 2020 hingga 2024.
“Pada masa sama, prestasi perbelanjasn juga menunjukkan rekod cemerlang secara konsisten dengan pencapaian melebihi 90 peratus selama lima tahun berturut-turut, “ katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.