Sorting by

×

11 PRODUK PELANCONGAN TAWAR MASUK PERCUMA 20 FEBRUARI INI

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 8 Februari – Sebanyak 11 produk pelancongan bakal menawarkan kemasukan percuma kepada pelancong dan rakyat Melaka pada 20 Februari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata kemasukan percuma itu bersempena cuti umum Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Banda Hilir pada tanggal 20 Februari 1956.

Katanya, terdapat penambahan kemasukan percuma daripada lima kelab golf sekitar negeri ini pada tarikh tersebut dan beberapa produk pelancongan swasta yang mahu bersama-sama meraikan pelancong serta rakyat Melaka.

“Antara tempat pelancongan yang bersetuju menawarkan insentif istimewa itu adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka, muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Ayer Panas Cherana Putih, Melaka Wonderland Theme Park dan Balai Cerap Al-Khawarizmi.

“A’Famosa Water World, Kompleks Ayer Panas Gadek, Muzium Penjara dan lima kelab golf seperti Ayer Keroh Country Club (AKCC), Tiara Country Club, Orna Golf and Country Club, A’ Famosa Golf dan Jasin Golf Heritage,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mythen Kunju Basheer; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut memaklumkan meskipun ke lima kelab golf dinyatakan adalah percuma, pemain bagaimanapun perlu membayar sendiri perkhidmatan ‘buggy’.

“Untuk buggy pihak kelab golf minta peserta membayar dan bayaran RM50 dikenakan untuk makan malam pada hari tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

302
Kongsi :
Previous post PROJEK SISTEM TENDER ONLINE MELAKA 2.0 BAWA TUAH BUAT BTMK
Next post TERUS PERHEBAT PEMBANGUNAN NEGERI MELAKA – KM