Sorting by

×

PROJEK SISTEM TENDER ONLINE MELAKA 2.0 BAWA TUAH BUAT BTMK

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR 7 Februari – Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) muncul juara keseluruhan Projek Terbaik Tahun 2024 pada Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Menerusi Projek Sistem Tender Online Melaka 2.0, BTMK membawa pulang hadiah RM10,000 beserta piala pusingan dan sijil  yang disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut dipertandingkan kategori Anugerah Kajian Penilaian Outcome Terbaik menerusi Kluster Sistem, Kluster Infrastruktur dan Reruai Pameran Terbaik.

Bagi Kluster Sistem, BTMK menerusi projek Tender Online Melaka 2.0 muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta sijil dan trofi yang mana tempat kedua dan ketiga dimenangi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang membawa pulang wang RM3,000 dan RM2,000 beserta piala dan trofi.

Manakala Kluster Infrastruktur dimenangi Badan Kawal Selia Air (BKSA) menerusi projek Kerja-Kerja Pelencongan Air Tercemar dari Parit Paya Lebar dan Parit Semujuk ke Hilir Rumah Pam Air Lanchang yang membawa pulang RM5,000 beserta sijil dan trofi.

Pejabat Daerah dan Tanah Jasin (PDTJ) menerusi projek Menaiktaraf Longkang di Jalan Abdul Rahman, Kampung Berangan Enam, Serkam di tempat kedua dan membawa pulang RM3,000 beserta trofi dan sijil.

Tempat ketiga yang membawa pulang RM2,000 beserta sijil dan trofi menjadi milik Jabatan Pengairan dan Saliran menerusi projek Kerja Pengawalan Hakisan Pesisiran Pantai Kampung Tengah, Alor Gajah.

Reruai Pameran Terbaik dimenangi Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Jalan menerusi projek Mengkaji dan Merekabentuk Persimpangan Dan Melaksana No Right Turn membawa pulang RM3,000 beserta sijil dan trofi.

Untuk Kategori Pengurusan Amalan Projek Terbaik terdapat tiga pemenang menerusi kategori projek berbeza.

JKR Daerah Alor Gajah memenangi Anugerah Projek Bernilai Melebihi RM300,000 menerusi Pembinaan Sekolah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Durian Daun, Masjid Tanah dan membawa pulang RM7,000 beserta sijil dan trofi.

Manakala Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) membawa pulang RM5,000 beserta sijil dan trofi menerusi projek Penyelenggaraan Tembok Penahan Tebing SRA Pegoh dan Membaiki Pembentung Laluan Masuk Rumah Penduduk Kampung Pegoh di bawah Kategori Projek Bernilai Kurang RM300,000.

Sementara itu, BTMK meneruskan kecemerlangan mereka apabila turut meraih Anugerah Projek Bukan Fizikal menerusi Projek Sistem Tender Online Melaka 2.0 untuk membawa pulang RM5,000 beserta sijil dan trofi.

Terdahulu, majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post NAHAS HELIKOPTER DI BENTONG: SIASATAN BSKU DIJANGKA SELESAI HARI INI