Sorting by

×

KAMPUNG BACHANG DARAT BAKAL DAPAT SRA, TADIKA JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PENGKALAN BATU 7 Februari – Sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Tadika JAIM bakal dibina di Kampung Bachang Darat pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, majlis pecah tanah akan diadakan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yang bermula 10 Februari depan.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, SRA JAIM baharu itu akan memuatkan sehingga 360 pelajar manakala tadika JAIM itu boleh menampung sehingga 100 pelajar.

“Pelaksanaan pembinaan sekolah ini akan dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang menelan kos RM6 juta, yang mana objektif pembinaan ini untuk menampung keperluan pelajar dari kawasan Pasir Putih, Bachang.

“Di samping itu juga kita menyediakan bangunan sekolah dan tadika yang serba lengkap untuk keperluan pelajar di kawasan ini dan seterusnya menyediakan kemudahan kepada masyarakat setempat dan mengembangkan ilmu menerusi platform pembelajaran yang kondusif dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Kampung Bachang Darat dan Kampung Pengkalan Batu, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata SRA dan tadika JAIM itu bakal mempunyai enam unit bilik darjah; dua unit surau; bilik wuduk lelaki dan perempuan; 12 unit tandas lelaki dan perempuan serta pelbagai lagi.

“Semua kemudahan infrastruktur dan kelengkapan murid dan pelajar kita akan sediakan untuk murid-murid ini selesa menimba ilmu, selain menampung pertambahan jumlah penduduk di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

113
Kongsi :
Previous post LEBIH 28,000 TERIMA BANTUAN JKM DI MELAKA SEPANJANG 2024
Next post MPHTJ TAWAR DISKAUN KOMPAUN 80 PERATUS SEMPENA W.R.U.R PENGKALAN BATU