Sorting by

×

BAZAR IKONIK BANDA HILIR BAKAL JADI TUMPUAN MAC INI

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 6 Februari – Bazar Ramadan Ikonik yang akan bermula pada Ramadan ini dijangka bakal menjadi tumpuan bukan sahaja umat Islam, bahkan pelancong dari dalam dan luar negara.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, ia memandangkan bazar yang ditempatkan di kawasan tumpuan pelancong iaitu dari Jalan Kota hingga ke hadapan Menara Taming Sari itu akan beroperasi seawal jam 9 pagi hingga 2 pagi.

Jelas beliau, menariknya, pelbagai hadiah turut disediakan pihak penganjur pada setiap hari bagi menambah kemeriahan bazar berkenaan yang menjual pelbagai jenis barangan termasuk persiapan menyambut Aidilfitri.

“Bazar Ramadan Ikonik ini berbeza dengan Bazar Ramadan yang lain kerana ia diadakan di kawasan pelancongan di mana ia bukan sahaja menjadi tumpuan umat Islam bahkan boelh dihadiri pelancong-pelancong dalam dan luar negara memandangkan ia akan dibuka seawal jam 9 pagi.

“Berdasarkan maklum balas yang kita terima daripada pihak penganjur, bazar ini mendapat sambutan luar biasa dan 100 peratus dipenuhi peniaga yang akan menjual pelbagai barangan sempena Ramadan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025, baru-baru ini.

6120404598566012275
SHADAN ketika ditemui pada program Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan Bazar Ikonik Banda Hilir itu akan bermula pada 2 Mac depan dengan menempatkan lebih 200 peniaga.

Bazar tersebut akan memeriahkan kawasan Jalan Kota iaitu berhampiran bangunan lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Banda Hilir hingga ke Bastion House dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, seterusnya melalui lorong di Taman Bunga Merdeka hingga ke tapak parkir Menara Taming Sari.

Selain membeli-belah, MBMB turut menambah baik kawasan berkenaan dengan aspek keceriaan dan pencahayaan, selain turut menyediakan fasiliti lengkap kepada orang ramai seperti tandas, surau dan pondok wakaf untuk keluarga berehat atau berbuka puasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post 93 PROGRAM SEPANJANG 2 MINGGU W.R.U.R DUN PENGKALAN BATU
Next post HELIKOPTER TERBAKAR DI BENTONG, JURUTERA WARGA INDONESIA MAUT