Sorting by

×

MUZIUM SASTERA ‘LUBUK’ ILMU SEJARAH

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 6 Februari – Bangunan yang suatu masa dulu menjadi premis Perbadanan Melaka (MCORP), kini berfungsi sebagai sebuah gedung ilmu yang menyimpan pelbagai perkongsian sejarah tentang perkembangan dunia kesusasteraan negara.

Malah Muzium Sastera di bangunan dua tingkat masih mengekalkan ciri seni bina Inggeris itu turut memaparkan tokoh-tokoh dan sasterawan termasuk penulis tersohor kelahiran Melaka.

Sebaik melangkah masuk ke bangunan yang terletak diatas bukit berhampiran Bangunan Stadthuys itu, pastinya pengunjung akan terpana melihat susun atur bahagian hadapan selain ‘disambut’ dengan Hikayat Hang Tuah.

6131705439205835088
CAP pencetak bertulisan jawi dan tamil yang digunakan bagi mencetak label untuk dilekatkan pada botol ubat-ubatan yang terdapat di Muzium Sastera, Banda Hilir. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Tingkat satu premis dipecahkan kepada empat bahagian iaitu pengenalan Muzium Sastera, ruangan Sasterawan Negara A. Samad Said yang turut mepaparkan karya beliau antaranya Rumah Rahsia, Rindu Ibu dan Dari Salina ke Langit Petang selain biografi penulis itu.

Juga dibahagian bawah turut ditempatkan ruangan Tradisi Lisan, Genre Kewartawanan dan Percetakan, Manuskrip Asal serta Penyelidikan selain Tokoh Sastera Terkini.

Sementara itu memenuhi ruangan tingkat atas adalah Peranan Melaka Dalam Perkembangan Sastera dan Sejarah Perkembangan Sastera yang mana di premis sini dipaparkan karya asli Manuskrip Nazam Dari Selatan Acheh serta Nazam Melaka ditulis oleh Mantan Mufti Melaka Ahmad Abd Rauf.

Antara yang turut dipaparkan di Muzium Sastera adalah Surat Khabar Utusan Melayu Keluaran Pertama Tahun 1936 Bertulisan Jawi, Majalah Seruan Azhar Keluaran Pertama Tahun 1929 Bertulisan Jawi dan Berita Melaka Yang Diterbitkan Sekitar Tahun 1962 hingga 1966 Oleh Jabatan Penerangan Negeri Melaka.

6131705439205835060
MUZIUM Sastera di Banda Hilir. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Kurator Bahagian Pemuziuman (Pendidikan) Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Noor Azimah Md Ali berkata, dari semasa ke semasa bahan pameran di Muzium Sastera ditambah baik mengikut perkembangan dunia sastera negeri ini.

“Sebelum ini mungkin hanya mampamerkan bahan berkaitan sastera sahaja, namun selepas penambahbaikan dilakukan pada 1995 Muzium Sastera telah memperkenalkan Tokoh Sastera yang ada di Melaka dan untuk pengetahuan di Melaka terdapat lebih 40 orang penulis.

“Malah di Muzium Sastera terdapat 10 naskah manuskrip lama termasuk buku karya asli penulis asal yang ditulis tangan iaitu Nazam Dari Selatan Acheh serta Nazam Melaka,” katanya.

Terdahulu, Noor Azimah ditemui selepas mengiringi Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr. Muhammad Salleh melawat Muzium Sejarah, semalam.

Jelasnya, kunjungan Sasterawan Negara ke Muzium Sastera dianggap sebagai satu penghormatan dan dalam masa sama pihaknya turut menerima pandangan idea dalam menambah baik muzium terbabit.

“Kami beruntung Sasterawan Negara sendiri turun untuk melihat apa yang terdapat di Muzium Sastera ini dan beliau amat berpuas hati dengan apa yang kami tawarkan.

“Ada idea dan pandangan beliau yang saya rasa amat membantu kami dalam mengemaskini bahan pameran dan menambahbaik Muzium Sastera ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

98
Kongsi :
Previous post BUANG BAYI: REMAN TERHADAP WANITA DISAMBUNG DUA HARI
Next post MALAYSIA TOLAK PEMINDAHAN WARGA PALESTIN SECARA PAKSA