KERAJAAN NEGERI PASTIKAN PENIAGA KECIL DAPAT ‘TEMPIAS’ KEBANGKITAN SEKTOR PELANCONGAN MELAKA
AYER KEROH 5 Februari – Kerajaan Negeri komited memastikan peniaga kecil di negeri ini turut terkena ‘tempias’ hasil kebangkitan semula sektor pelancongan Melaka yang bermula dengan kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, bukan sekadar memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama dunia, sebaliknya Kerajaan Negeri sentiasa memastikan setiap program yang dianjurkan khususnya sepanjang Tahun Melawat Melaka dilanjutkan sehingga tahun 2026 memberi impak langsung kepada peniaga dan tidak sesekali meminggirkan golongan itu khususnya peniaga di Kawasan Sungai Melaka yang melibatkan Floating Market serta Windmill Pink Market.
Katanya, kempen pelancongan dilaksanakan Kerajaan Negeri secara tidak langsung mewujudkan ekosistem pelancongan yang membuka peluang kepada lebih ramai peniaga untuk menikmati pulangan lumayan.
“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan setiap aktiviti pelancongan yang dilaksanakan memberikan impak dan tempias kepada golongan peniaga selain pemain utama sektor itu.
“Malah Kerajaan Negeri juga sentiasa cakna dengan keluhan peniaga seperti penurunan jumlah pengunjung dan sebagainya. Hasil perbincangan dengan pihak terkesan ini kita fikirkan alternatif atau penyelesaian kepada pemasalahan membebankan mereka.
“Kita sentiasa menyokong dan mengambil berat permasalahan dihadapi peniaga khususnya. Menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar setiap keputusan dibuat memberikan pulangan langsung kepada peniaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar juga berharap semua pihak untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dengan menyokong dan memeriahkan setiap program pelancongan yang dianjurkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.