MEKANIK MAUT TERLANGGAR TAYAR GANTI DALAM KEMALANGAN LIMA KENDERAAN
Ketua Polis Daerah Rembau Supt Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata kemalangan berlaku pada 12.20 tengah malam dan mangsa Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal, bas, lori, pacuan empat roda, dan kereta itu turut mengakibatkan enam individu cedera, termasuk pemandu bas berusia 36 tahun yang mengalami patah tulang pinggul dan kini dirawat di Hospital Alor Gajah, Melaka.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila bas yang dalam perjalanan dari Singapura ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi, Kuala Lumpur melanggar belakang lori di lorong kiri menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan.
“Toyota Hilux dan kereta BMW pula tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang bas, menyebabkan tayar ganti Toyota Hilux tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar penunggang motosikal yang bergerak di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shaik Abd Kadar berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan lima lagi yang cedera ringan turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.
Kemalangan itu menyebabkan lorong kanan bagi kedua-dua arah di lokasi kejadian ditutup sementara.
Dalam kes berasingan, Shaik Abd Kadar berkata seorang pemandu lori berumur 51 tahun maut manakala dua anak lelakinya berusia 16 dan 14 tahun parah selepas kenderaan mereka tersepit antara dua lori dalam kemalangan di Km 230.3 Lebuhraya PLUS arah utara pada 4.14 pagi tadi.
Kemalangan berlaku apabila lori mangsa jenis Daihatsu yang membawa muatan kelapa dari arah Ayer Keroh ke Senawang melanggar belakang lori Hino yang bergerak perlahan di lorong kiri akibat kesesakan lalu lintas.
“Lori mangsa kemudiannya dilanggar oleh sebuah lori 10 tan yang membawa muatan polistirena yang tidak sempat mengelak. Bagaimanpun, pemandu dan kelindan dua lagi lori terlibat tidak cedera,” katanya.
Shaik Abd Kadar berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala dua remaja terbabit dikejarkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.
Kedua-dua kes kemalangan itu dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.