Sorting by

×

TRANSFORMASI BECA MELAKA ‘TUAI’ PUJIAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDA HILIR 2 Februari – Wajah baharu Beca Melaka yang kini dilengkapi pakaian seragam, selain tidak lagi memasang muzik terlalu kuat telah mendapat pujian daripada pelancong.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, transformasi yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu menyaksikan pengayuh beca Melaka kini lebih tersusun selain turut dilesen dan didigitalkan dengan pengenalan kod QR.

Malah, menurut beliau, perubahan baharu itu turut disambut baik pengayuh beca di negeri ini.

“Kalau dapat kita lihat sekarang beca ini tidak lagi bersepah dan lebih tersusun dengan pengenalan stesen-stesen yang ditetapkan untuk mengambil pelancong.

“Reaksi yang kita terima daripada pengayuh beca adalah mereka menzahirkan rasa gembira kerana kita dapat mengawal pengayuh beca haram dan tidak mempunyai lesen yang hanya datang pada hujung minggu atau cuti umum.

“Manakala dari sudut pandang pengunjung, mereka memuji kerana pengayuh beca ini telah mengikut peraturan ditetapkan seperti dalam sudut kawalan bunyi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025 di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Program itu diserikan dengan kehadiran Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalan beliau, Datuk Zaidi Attan.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

119
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI TIDAK PERNAH MENGECEWAKAN
Next post PENUTUPAN KEKAL ZON BEBAS KENDERAAN MASIH DI PERINGKAT CADANGAN DAN KAJIAN