
MELAKA BILA LARUT MALAM 2025 DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA
BANDA HILIR 2 Februari – Pelanjutan inisiatif Melaka Bila Larut Malam pada tahun 2025 membawa impak cukup besar apabila berjaya mendapat sambutan tidak kurang 50,000 pengunjung dan pelancong dalam sehari.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, walaupun baru memasuki dua edisi penganjuran pada tahun ini, sambutan yang diterima sangat luar biasa sekali gus membuktikan sektor pelancongan di Melaka tidak pernah sunyi.
Bukan itu sahaja, malah ujar beliau, pemain industri pelancongan yang menyertai inisiatif itu turut menerima limpahan cukup positif termasuk pengusaha makanan yang menawarkan Menu RM10.
“Kita dimaklumkan bahawa peniaga makanan yang menawarkan Menu RM10 ini juga sudah bertambah melebihi 50 pengusaha makanan daripada 46 sebelum ini dan kita percaya jumlahnya akan terus meningkat.
“Begitu juga produk pelancongan yang menawarkan tiket RM10 seperti Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka dan muzium-muzium yang semenangnya dapat sambutan cukup hebat.
“Kita percaya sektor pelancongan Melaka akan terus meriah memandangkan Tahun Melawat Melaka kini dilanjutkan sehingga 2026 iaitu bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025 di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan dan lain-lain kenamaan.
Pada program itu, Abdul Razak bersama lebih 20,000 pengunjung menyaksikan pelbagai persembahan menarik yang disediakan, antaranya tarian naga dan tarian singa bersempena Tahun Baharu Cina 2025.
Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan, selain percikan bunga api yang menambah kemeriahan Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.