MELAKA TAWAR SYARIKAT PENERBANGAN INDONESIA ‘MENDARAT’ DI LTAM
BANDA HILIR 2 Februari – Kerajaan Melaka membuka pintu seluas-luasnya kepada syarikat penerbangan dari Indonesia untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sebagai destinasi baharu penerbangan mereka.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, tawaran itu disampaikan pada Lawatan Kerja Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka ke Jakarta, baru-baru ini.
Menurut beliau, antara potensi kerjasama yang dibincangkan adalah penerbangan langsung dari bandar-bandar utama Indonesia ke Melaka, selain turut meneroka potensi penerbangan ‘charter’ bersama syarikat penerbangan kecil di sana.
“Saya percaya dengan adanya penerbangan baharu ini, ia secara tidak langsung dapat memberi impak positif kepada sektor pelancongan kesihatan yang kini semakin mendapat sambutan.
“Di samping mendapatkan rawatan, mereka juga dapat menikmati tarikan pelancongan di Melaka dan pada masa sama, ia juga dapat memacu kemasukan pelancong dari Melaka ke Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025 di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan dan lain-lain kenamaan.
Menurut Abdul Razak, lawatan kerja itu juga membuka peluang kepada Kerajaan Negeri menjalin kerjasama dengan persatuan-persatuan pelancongan dari Indonesia dalam memperkasa pelancongan antara dua negara.
“Kita melihat, lawatan ini membuka lembaran dan sinar baharu dalam memperkukuh kerjasama di antara Melaka dan Indonesia dalam sektor pelancongan, warisan, seni dan budaya, di samping memacu strategi promosi secara bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.