BANDA HILIR ‘TAK RILEKS’, ‘FULL HOUSE’
BANDA HILIR 1 Februari – Perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, dibanjiri ribuan pelancong dan pengunjung bersempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati seawal jam 8 malam lagi, destinasi tumpuan pelancong ini sudah mula dipenuhi orang ramai berbilang kaum termasuk pelancong asing yang mahu menyaksikan pelbagai persembahan menarik yang disediakan.
Antara yang menarik perhatian pengunjung adalah tarian naga dan singa yang dibawakan khas sempena Tahun Baharu Cina 2025.
Selain itu, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan diiringi Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025 turut diserikan dengan kehadiran Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalannya Datuk Zaidi Attan.
Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan dan lain-lain kenamaan.
Selain pelbagai persembahan menarik, pelancong dan pengunjung turut berpeluang menikmati kemasukan ke beberapa produk pelancongan pada harga serendah RM10, selain percuma satu bagi pembelian empat tiket.
Antara produk pelancongan yang menyertai inisiatif berkenaan adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Muzium Penjara Malaysia yang dibuka bermula jam 11 malam hingga 2 pagi.
Manakala Zoo Melaka dan Malaysia Heritage Studio pula bakal beroperasi dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam, sementara Cool Ghost Museum pula beroperasi dari jam 9.30 malam hingga 2 pagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.