Sorting by

×

MAHASISWA RUGI LEBIH RM100,000 TERPEDAYA SINDIKET ‘PHONE SCAM’

Masa Membaca:59 Saat

KUANTAN, 1 Feb – Seorang mahasiswa kerugian dianggarkan RM147,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak Shopee dan pegawai polis, bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 20 tahun itu menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak platform e-dagang tersebut yang memaklumkannya telah mengiklankan barangan menyalahi undang-undang, pada 23 Jan lepas.

Beliau berkata panggilan telefon mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai polis dan diberitahu turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Suspek meminta lelaki membuat pemindahan wang bagi mengelakkan ditangkap dan membersihkan rekod daripada kes jenayah. Mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM47,000 ke tiga akaun berbeza.

“Selain itu, mangsa turut menyerahkan barang kemas milik emaknya yang dianggarkan bernilai RM100,000 kepada seorang perempuan tidak dikenali berhampiran kawasan perumahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa mula menyedari ditipu apabila ibunya mempersoalkan kehilangan barangan kemas miliknya serta kekurangan wang simpanan dalam akaun banknya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan sebarang dakwaan menerusi panggilan telefon individu tidak dikenali, sebaliknya semak dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

108
Kongsi :
Previous post SUKAN MELAKA 2025 LEBIH MENARIK
Next post SAMBUTAN PERAYAAN MEDAN PERKUKUH PERPADUAN RAKYAT MELAKA