UTEM TERIMA PENGIKTIRAFAN PUSAT PENILAIAN PENGAKREDITAN APEL.C
DURIAN TUNGGAL 31 Januari – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima pengiktirafan sebagai Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi tujuan Penganugerahan Kredit (APEL.C) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pengiktirafan itu merupakan berita baik yang memberi impak besar dalam konteks pembelajaran dan tempoh pengajian kepada kepada pelajar UTeM dan juga calon-calon di luar sana yang ingin mengikuti pengajian dan berpeluang untuk mendapat pindahan kredit menerusi APEL.C.
Jelasnya, APEL.C adalah proses penilaian pembelajaran secara tidak formal dan formal seseorang individu berdasarkan pengalaman kerja terkumpul meliputi pengetahuan dan kemahiran yang membolehkan mereka untuk memohon bagi mendapatkan pindahan kredit bagi kursus dalam program pengajian mereka ikuti.
“Dalam erti kata lain, dengan adanya pindah kredit melalui APEL.C, mereka yang mempunyai pengalaman kerja berkaitan dapat mengurangkan tempoh pengajian bergantung kepada pindah kredit yang diperolehi.
“Permohonan pindah kredit melalui APEL.C ini meliputi semua tahap pengajian diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan Ph.D merangkumi semua kategori kemasukan samada melalui proses kemasukan perdana, laluan terbuka atau separa masa,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, dengan APEL.C, pelbagai manfaat lain turut dapat dinikmati pelajar seperti mengurangkan pembelajaran berulang, mengurangkan kos dan tempoh masa untuk menamatkan pengajian.
Sementara itu, Pengarah Pusat Perkhidmatan Pendidikan Lanjutan dan Berterusan (UTeM ACCESS), Profesor Madya Ir. Dr. Suhaimi Misha berkata, APEL.C merupakan peluang keemasan yang dinantikan oleh masyarakat di luar sana termasuk calon dewasa untuk menyambung pengajian bidang teknikal di UTeM.
Katanya, mereka yang terdiri daripada kalangan pekerja swasta dari pelbagai sektor perindustrian malahan penjawat sektor awam dapat menikmati manfaat pindahan kredit berdasarkan pengalaman kerja sebelum ini.
“APEL.C menjadi laluan mengiktiraf pengalaman kerja termasuklah kursus jangka pendek yang diiktiraf dan pendekatan ini dapat memastikan pembangunan kerjaya dan kelayakan akademik seseorang dapat berjalan seiringan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.