Sorting by

×

10,000 ‘SERBU’ MACHAP JAYA SEMPENA TAHUN BAHARU CINA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MACHAP JAYA 31 Januari – Dua kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dibanjiri lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri sempena sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata dua kampung itu adalah Kampung Machap Baru dan Kampung Baru Machap Umboo yang kini menjadi tarikan pelancong.

Jelasnya, ia susulan dua lokasi itu dihiasi dengan warna-warni lampu neon serta tanglung setiap kali musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kerja-kerja menghias dan mencantikkan kampung ini dilakukan secara gotong-rotong oleh penduduk dua kampung berkenaan dengan tujuan untuk menarik kehadiran pengunjung dan pelancong.

“Biarpun DUN Machap Jaya ini berada di kawasan pedalaman, namun ia mempunyai tarikan tersendiri khususnya sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada setiap tahun.

“Lebih menarik di Kampung Machap Baru terdapat aktiviti membakar mercun papan sepanjang 2,025 kaki khusus untuk orang ramai yang berkunjung,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp Image 2025 01 31 At 14.04.24
HEE Sem bersama pengunjung yang meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Machap Baru.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berharap Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya akan terus menggamit pelancong, seterusnya menjadi kawasan tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

“Machap Jaya sudah menjadi ‘hotspot’ pengunjung dari pelbagai tempat, sehinggakan ada yang sanggup datang ke sini untuk melihat keindahan lampu dan tanglung serta tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

80
Kongsi :
Previous post GAJI MINIMUM RM1,700 BERKUAT KUASA ESOK, BERI MANFAAT 4.37 JUTA PEKERJA
Next post UTEM TERIMA PENGIKTIRAFAN PUSAT PENILAIAN PENGAKREDITAN APEL.C