Sorting by

×

HANYA CADANG KONSEP SEPERTI JONKER WALK, ‘HIDUPKAN’ JALAN HANG TUAH

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Januari – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong tampil memberi penjelasan berhubung salah faham membabitkan cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah.

Beliau memaklumkan cadangan itu hanyalah mahu memperkenal konsep atau jenama seakan Jonker Walk di kawasan itu dan bukannya mahu menukar nama jalan atau menutup jalan.

Jelas beliau, melihat kepada impak positif kehadiran pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar negara ke Jonker Walk, konsep itu boleh diperluaskan di lokasi baharu seperti di Jalan Hang Tuah bagi merancakkan ekonomi kawasan tersebut.

“Pengurusan Jonker Walk sudah 25 tahun, di mana ia berjaya menjadi satu tarikan pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar negara, jadi saya mencadangkan supaya konsep ataupun jenama Jonker Walk 2.0 dibawa ke Jalan Hang Tuah.

“Saya percaya ia akan merancakkan ekonomi setempat terutamanya di kawasan sini. Ia tidak berkaitan dengan tukar nama Jalan Hang Tuah ataupun menutup jalan.

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada isu perkauman kerana perniagaan ini terbuka kepada semua yang berdaya saing, sesiapa saja yang berminat boleh berniaga,” katanya pada sidang media di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Chee Leong yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri meminta supaya tiada pihak yang cuba memutar belit cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 tersebut.

“Saya berhasrat mahu membawa pembangunan di Jalan Hang Tuah ini selaku Adun kawasan kerana saya lihat pada waktu malam kawasan ini agak suram.

“Ini hanya cadangan awal, maklumat terperinci belum dibincangkan lagi, jadi saya minta mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun persatuan berminat boleh menghantar cadangan kepada saya dan pihak Japerun sebelum dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

262
Kongsi :
Previous post JADIKAN MELAKA NEGERI HARGA BERPATUTAN
Next post BUAT KALI PERTAMA, TIADA ORANG MELAKA DITIPU ‘SCAMMER’