BUAT KALI PERTAMA, TIADA ORANG MELAKA DITIPU ‘SCAMMER’
AYER KEROH 31 Januari – Melaka melakar satu rekod baharu pada tahun ini apabila buat pertama kalinya, tiada rakyat di negeri ini ditipu ‘scammer’ dalam tempoh sehari.
Rekod itu dicipta pada tanggal 30 Januari (semalam) berdasarkan data diterima daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, sebelum ini bermula dari 1 hingga 29 Januari ada sahaja kes penipuan direkodkan di seluruh Melaka.
Jelasnya, sepanjang tempoh hampir sebulan itu, sebanyak 195 kes terkumpul direkodkan dengan nilai kerugian mencecah lebih RM3.32 juta.
“Diharapkan keadaan hari tanpa kes (penipuan) ini berterusan dan bukannya kerana ‘scammer’ cuti tahun baru semata-mata,” katanya berseloroh dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan kes jenayah komersial merekodkan kerugian hampir RM80 juta sepanjang tahun lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, nilai kerugian bagi kes komersial adalah sebanyak lebih RM79.26 juta, meningkat berbanding RM48.42 juta tahun sebelumnya.
Menurut beliau, kes penipuan menjadi penyumbang terbesar dalam kes komersial iaitu dengan kerugian lebih RM73.3 juta atau bersamaan 64.5 peratus.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.