Sorting by

×

JADIKAN MELAKA NEGERI HARGA BERPATUTAN

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

JASIN 31 Januari – Semua peniaga di negeri ini diingatkan agar tidak menaikkan harga barangan terutama setiap kali tiba musim perayaan.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka wajar dikenali sebagai sebuah negeri yang menawarkan harga berpatutan khususnya membabitkan makanan dan minuman.

Katanya, pihak bersama agensi terlibat akan mempergiatkan pemantauan sekiranya menerima aduan berlakunya kenaikan harga barang oleh pengguna.

“Kerajaan Negeri amat berharap harga barangan ini dapat dipertahankan bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga pelancong dan pengunjung yang datang.

“Kita mahu, negeri ini bukan sahaja dikenali sebagai destinasi pelancongan menarik, tetapi juga sebuah negeri menawarkan harga yang berpatutan dan adil kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Sin Ban Bee, Kampung Rim, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, rumah terbuka beliau dimeriahkan dengan kehadiran lebih 500 tetamu daripada berbilang kaum.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan beberapa pemimpin negeri.

Dalam pada itu mengulas mengenai isu cadangan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah, Allex berharap tiada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan menjadikannya sebagai modal atau sentimen politik.

Beliau menjelaskan, cadangan yang dibawa oleh Adun Kota Laksamana Low Chee Leong itu hanyalah untuk membangunkan kawasan tersebut menjadi lebih menarik dengan aktiviti perniagaan dan bukannya mahu menukar nama Jalan Hang Tuah.

“Bagi saya, Jalan Hang Tuah tetap Jalan Hang Tuah. Janganlah cuba menjadikannya isu atau permainan politik, itu tidak sihat.

“Memperbesar-besarkan isu seperti ini bukan hanya boleh menjejaskan ekonomi, tetapi juga turut menjejaskan keharmonian yang ada di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post PEKERJA PUSAT PANGGILAN MAUT, KERETA BERTEMBUNG TRAK TENTERA
Next post HANYA CADANG KONSEP SEPERTI JONKER WALK, ‘HIDUPKAN’ JALAN HANG TUAH