Sorting by

×

PEKERJA PUSAT PANGGILAN MAUT, KERETA BERTEMBUNG TRAK TENTERA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

LENDU 31 Januari – Seorang wanita yang juga pekerja pusat panggilan Telekom Malaysia maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan trak tentera dalam nahas di hadapan Depoh Pangkalan Peluru Masjid Tanah, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.24 pagi itu, mangsa, Manisya Azlin Ishak, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala pemandu trak tentera patah tangan.

Sementara itu, empat lagi anggota tentera lain yang berada di dalam trak tidak mengalami kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh untuk pulang ke rumahnya di Masjid Tanah.

Katanya, ketika tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan trak tentera yang sedang menuju ke Kem Terendak dari Nibong Tebal.

“Mangsa dipercayai mengantuk ketika kejadian dan siasatan turut menemui kesan tayar sepanjang 12 meter di lokasi.

“Akibat impak pelanggaran itu, pemandu kereta tersepit dalam kenderaan dan telah dikeluarkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu trak tentera yang cedera pula telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, semua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan teknikal.

“Usaha mengesan saksi kejadian masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

769
Kongsi :
Previous post BUDAK SEKARANG CEPAT SAKIT?
Next post JADIKAN MELAKA NEGERI HARGA BERPATUTAN