Sorting by

×

BUDAK SEKARANG CEPAT SAKIT?

Masa Membaca:3 Minit, 25 Saat

Oleh: Dr. Azri Fikry

Doktor Pakar Kanak-kanak,

Clinic Suite 3.28, 

Putra Specialist Hospital Melaka

HAMPIR setiap hari setiap minggu pasti ada rungutan ‘anak saya cepat sangat sakit doktor, kenapa begitu ya?’

Beberapa bulan sebelum bermula pandemik Covid-19, negara kita bertarung dengan kes-kes Influenza, sekitar Disember 2019. Lama kita bergelut, ubat penawar Influenza dan Vaksin Influenza, semuanya hampir sifar di pasaran.

Reda sekadar 3-4 bulan, disambung dengan pengalaman Pandemik Covid-19. Tak pernah terfikir kita akan tempuh 2 tahun yang perit penuh dengan seribu satu ujian. Mesti ramai tak lupa kisah bendera putih, bukan?

Setelah 3 tahun Pandemik berlalu, hospital swasta dan awam hampir selalu penuh. Anak-anak dikaitkan dengan imuniti lemah. Acap kali anak batuk dan selsema. Termasuk juga kes-kes lain seperti cirit birit dan HFMD (tangan, kuku dan mulut).

Sebenarnya tidak banyak perbezaan sebelum dan selepas Covid 19. Yang berbeza adalah norma hidup dan perubahan fasa hidup kita.

Bergantung kepada data kajian, secara purata setiap kanak-kanak akan mendapat jangkitan kuman batuk selsema 4-8 kali setahun. Adakah wajib? Tidak. Kita bercakap mengenai keseluruhan populasi kanak-kanak, 4-8 kali setahun adalah kadar normal.

Ada yang kurang bernasib baik setiap bulan terjangkit kuman batuk selsema. Ada yang sekali setahun pun ada. Ada yang tiga bulan sekali masuk ke hospital. Tetapi data secara purata adalah 4-8 kali setahun.

Data ini tidak akan berubah selagi mana sifat manusia perlu bersosial. Saya masih ingat sepanjang 2020-2021, langsung tiada jangkitan batuk selsema bila kita ada penjarakan sosial, pemakaian topeng muka dan selalu mencuci tangan.

Tapi apa harga yang perlu dibayar bila tidak bersosial? Anak- anak menjadi hantu telefon, ibu ayah bergaduh kerana tiada sumber pendapatan tetap dan penyakit mental bertambah jumlah pesakit.

Norma hidup selepas Covid-19 juga lain sekarang. Kadar kes batuk selsema tidaklah ketara bezanya, tetapi pusat asuhan tidak menerima lagi kehadiran anak-anak walaupun tiada demam. Ini menyukarkan ibu bapa yang bekerja. Majikan mana yang akan memberi cuti setiap kali anak batuk dan selsema kan?

Untuk mewujudkan situasi tiada penyakit, mustahil. Ada beberapa Langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar jangkitan.

DISIPLIN IBU BAPA

Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan yang aktif dan tidak menghantar anak yang sihat, kadar jangkitan dapat dikurangkan dengan ketara. Tetapi tidak mudah, kerana tidak semua penghidap jangkitan akan mempunyai gejala. Analoginya adalah seperti Covid 19 Kategori 1, positif jangkitan tapi luarannya sihat.

Tetapi sekurang-kurangnya disiplin memakai topeng muka sepanjang berada di sekolah atau pusat asuhan dapat meminimumkan risiko jangkitan.

KONTAK RAPAT

Pekerja sektor awam mempunyai keistimewaan cuti kuarantin untuk bebebrapa penyakit seperti cacar air (chicken pox), HFMD dan Rotavirus. Inisiatif ini disambut baik kerana memudahkan urusan ibu bapa. Kita berharap sektor swasta juga dapat mempertimbangkan inisiatif ini. Mungkin juga dapat disertakan dengan diganti cuti kuarantin yang diambil dengan bekerja pada tarikh kemudian.

PEMAKANAN 

Topik ini selalu dipandang enteng. Apa lagi jika kedua ibu bapa bekerja dan hanya dapat meluangkan masa dengan anak pada waktu malam sahaja. Balik ke rumah perlu disambung dengan kerja mengemas rumah, menggosok baju dan menyiapkan persekolahan anak ke sekolah esok.

Hasilnya makanan berproses dan kurang berkhasiat akan menjadi pilihan sekiranya kesuntukan masa. Anak-anak menjadi obese, kurang zat dan hyper. Kesannya bukan dilihat sekelip mata. Proses berulangan ini menghasilkan generasi yang lembap dan kurang cerdas.

AKTIVITI LUAR

Kita membesar dengan suasana berbeza. Kita sering keluar beriadah pada waktu petang. Pagi hujung minggu kita ‘ditugaskan’ mencuci dan mengapur kasut, mencuci kereta ayah dan mengemas rumah. Kita mendapat bekalan Vitamin D daripada matahari pagi yang penting untuk tumbesaran tulang dan juga imuniti.

Mungkin faktor penyumbang anak cepat sakit bila mereka meluangkan masa di dalam rumah terlalu lama bermain telefon?

SUNTIKAN IMUNISASI 

Suntikan imunisasi yang disediakan kerajaan termasuk Pneumococcal boleh ditambah baik dengan suntikan tambahan seperti Influenza, Meningococcal dan Chicken Pox. Tetapi ini memerlukan pelaburan kewangan tambahan kerana hanya disediakan di sektor swasta.

BEKERJA DARI RUMAH 

Paling susah! Kerana tak semua pekerjaan boleh bekerja di rumah. Yang boleh pula, tak semua dipercayai. Tapi sekiranya dapat diwujudkan mekanisma yang boleh diguna pakai, saya pasti cadangan ini akan disambut ramai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

103
Kongsi :
Previous post POLIS TEMUI HEROIN DALAM POKET SELUAR PEMANDU REMPUH PAGAR TADIKA
Next post PEKERJA PUSAT PANGGILAN MAUT, KERETA BERTEMBUNG TRAK TENTERA