ISU ‘JONKER 2.0’ TIDAK PERLU DIPOLEMIKKAN
KESIDANG 29 Januari – Nama Hang Tuah akan dikekalkan sebagai simbolik kepada keagungan sejarah Negeri Melaka jika cadangan untuk mewujudkan Jonker 2.0 di Jalan Hang Tuah dilaksanakan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, cadangan sebenar hanyalah untuk membawa konsep perniagaan Jonker Walk di Jalan Hang Jebat ke Jalan Hang Tuah tanpa sesekali menukar nama asal jalan berkenaan.
Tegas Rais, perkara tersebut tidak perlu dipolemikkan, dijadikan isu atau modal politik kerana perbuatan sedemikian dilihat hanya akan menghakis keharmonian kaum khusus di Negeri Melaka .
“Nama Hang Tuah perlu dikekalkan sebagai lambang kepada sejarah Melaka, malah nama-nama jalan di negeri ini perlu menggunakan nama-nama tokoh sejarah Kesultanan Melaka sebagai tanda semangat nasionalisme dan kesetiaan kepada negara.
“Sebenarnya tidak ada cadangan untuk tukar nama Jalan Hang Tuah atau sebagainya, kepada pihak yang ingin mengambil ia sebagai modal politik atau mereka cerita-cerita politik, hentikanlah.
“Pada waktu masyarakat kaum Cina sedang menyambut perayaan Tahun Baru Cina, rasanya amat tidak bersesuaian, cadangannya adalah untuk diwujudkan satu pasar malam seperti Jonker Walk dan dirujuk sebagai Jonker Walk 2.0 bukannya hendak tukar nama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Soo Chin, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Rais berkata perkara itu masih pada peringkat cadangan dan pelbagai tohmahan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan pihak tertentu dilihat hanya akan merosakkan keharmonian kaum.
“Tidak seharusnya mereka memainkan sentimen berkenaan memandangkan kepimpinan negeri ketika ini sentiasa berusaha membawa pembaharuan yang memberikan pulangan kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.