Suri rumah didenda, penjara curi makanan berjenama

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 15 Dis. – Padah mencuri sembilan makanan dan minuman berjenama, suri rumah didenda RM1,200 dan penjara sehari di Mahkamah Majistret, hari ini atas kesalahan mencuri September lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh selepas tertuduh, Zalifah Salleh, 38, mengaku salah terhadap tuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat curang mencuri barang kesemuanya bernilai RM161.10 kepunyaan Siti Rahmah Muhamad Salih, 29 yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Jalan Panglima Awang di sini kira-kira jam 2 petang, 30 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Raudhah Mazman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, antara makanan yang dicuri tertuduh adalah dua kotak kopi jenama Starbucks, satu botol Nutella 680 gram, dua bungkusan sushi, empat kotak susu UHT Dutch Lady, satu botol Ribena Mobile dan dua tin biskut coklat Amore.

Dalam rayuannya, tertuduh berjanji tidak mengulangi perbuatannya itu.

Majistret Mohamad Izwan kemudian dalam penghakimannya menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahannya.

“Memang dalam keadaan sekarang (pandemik COVID-19) ramai orang terkesan tapi matlamat tidak menghalalkan cara.

“Di Malaysia ini tiada yang mati kebulur, pihak jabatan (Jabatan Kebajikan Malaysia) sedia membantu sekiranya betul-betul memerlukan,” katanya.

Views:

1821
Kongsi :
Previous post COVID-19: Jumlah penumpang penerbangan berkurangan kepada 26.6 juta tahun ini
Next post Polis nafi pengurusan Genting Highlands ‘sorok’ pekerja positif COVID-19
Ubah saiz-+=