PENGANGGUR DITAHAN BERSAMA GANJA BERNILAI LEBIH RM50,000
Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pada 3.30 petang manakala kesemua dadah itu diisi dalam empat kotak.
“Hasil pemeriksaan terhadap empat kotak itu menemukan ketulan mampat dan cecair disyaki ganja dianggar seberat 16.6kg. Lelaki itu dipercayai bertindak sebagai penghantar kotak mengandungi dadah ke syarikat kurier terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lelaki itu dipercayai menerima bekalan dadah itu daripada warga Thailand di Bulatan Padang Besar sebelum dia membuat pengeposan kotak berkenaan di syarikat kurier itu.
“Lelaki itu dipercayai dibayar upah RM800 bagi sekali penghantaran. Dipercayai perkhidmatan kurier digunakan kerana kebanyakan syarikat kurier tiada alat pengimbas untuk mengetahui isi kandungan barang di dalam kotak,” katanya.
Baderulhisham berkata dadah itu dipercayai untuk pasaran seluruh Semenanjung mengikut tempahan dan jumlahnya boleh digunakan 33,320 penagih.
Lelaki itu yang didapati positif dadah jenis ketamine, katanya kini direman hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.