TIADA KOMPROMI, PPSPM TOLAK RASUAH
BANDARAYA MELAKA 23 Januari – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) terus komited menzahirkan komitmen terhadap tanggungjawab dalam menolak sebarang bentuk jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, bagi memastikan aspek integriti terus terpelihara, seramai 21 kakitangan PPSPM telah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Katanya, PPSPM tidak berkompromi kepada mana-mana kakitangan yang terlibat dengan rasuah dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
“Pada tahun 2025, PPSPM akan menjangkau 20 tahun ulang tahun penubuhannya dan saya melihat tadbir urus perlu diperkasakan dan menitikberatkan elemen integriti dalam pengurusan program, pengurusan perolehan kerajaan, pengurusan sumber manusia dan juga pengurusan operasi.
“Saya amat mengalu-alukan warga kerja PPSPM mengemukakan aduan atau melaporkan kepada Pegawai Aduan PPSPM berserta bukti-bukti berhubung salah guna kuasa atau sebarang bentuk jenayah rasuah.
“Amalan atau budaya kerja yang tidak mematuhi prosedur atau peraturan yang berkuatkuasa boleh membuka ruang dan peluang perlakuan rasuah itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) PPSPM di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM negeri, Norafizah Osman; Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM negeri, Muhammad Aiman Lingen Abdullah; Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, pihaknya amat menyokong Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang merupakan salah satu dari inisiatif Kerajaan Negeri Melaka dalam membudayakan program-program integriti.
“Saya mewajibkan seluruh warga PPSPM untuk bersama-sama melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi kakitangan baru dan memperbaharui semula IBR bagi kakitangan lama.
“Melalui IBR, saya dan setiap anggota PPSPM adalah secara tidak langsung menzahirkan komitmen terhadap tanggungjawab dalam menolak sebarang bentuk jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.