Sorting by

×

PROJEK ‘MISSION IMPOSSIBLE’ KERAJAAN MELAKA BUKTIKAN KEJAYAAN

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

MERLIMAU 23 Januari – Kerajaan Negeri memberi jaminan pesawah di negeri ini akan ditawarkan dengan pembelian harga benih padi jauh lebih rendah dengan kejayaan pengeluaran benih padi MR 297.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Projek Benih Padi Negeri Melaka yang diusahakan di kawasan berkeluasan 42 hektar itu dijangka akan memulakan proses penuaian pertama pada minggu ini dengan hasil tuaian dianggarkan sebanyak 80 tan.

Beliau berkata, ia sekali gus menamatkan dilema pesawah sebelum ini yang terpaksa mendapatkan bekalan benih dengan harga yang tinggi sehingga mencecah hampir RM70 bagi 20 kilogram benih padi.

“Secara keseluruhan daripada projek ini kita jangka akan dapat menuai hasil kira-kira 80 tan benih padi dan jumlah itu khas untuk pesawah di Melaka sahaja malah kita sudah maklumkan kepada kilang mereka tidak boleh menjualnya kemana-mana.

“Benih yang kita hasilkan akan dijual kepada pesawah dengan harga yang jauh lebih murah. Biasanya untuk sampai kepada pesawah banyak orang tengah atau kartel perlu dilalui sehinggakan mereka perlu membayar dengan harga tinggi contohnya RM64 untuk 20 kilogram benih.

“Dengan ini kita boleh memberi jaminan bahawa pesawah hanya akan membayar kos pengangkutan sahaja. Projek ini adalah projek ‘mission imposible’ kerana ladang benih padi dibuat di luar kawasan jelapang ia tidak pernah dilakukan lagi tetapi dibuat oleh Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Program ke Walkabout Projek Benih Padi Negeri Melaka di Sawah Tengah Padang, Merlimau, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, pengurusan yang baik bagi pelaksanaan Projek Benih Padi Negeri Melaka bukan sahaja berjaya menghasilkan benih padi MR 297 tetapi juga terdapat pertambahan hasil tuaian.

“Sebelum ini satu hektar hanya mampu mengeluarkan hasil tanaman kira-kira tiga tan sahaja tetapi dengan pengurusan yang baik pesawah mampu menghasilkan hampir empat tan.

“Ini memberikan perkembangan amat positif malah kita harapkan usaha membantu pesawah dapat diteruskan ia bukan sahaja untuk menjamin industri sawah malah membantu kehidupan pesawah,” katanya.

Jelasnya, penanaman benih MR 297 itu bermula pada 26 September lalu di kawasan seluas 42 hektar membabitkan seramai 18 orang pesawah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

205
Kongsi :
Previous post NIKMATI KEINDAHAN SENJA DARI ATAS MENARA TAMING SARI
Next post TIADA KOMPROMI, PPSPM TOLAK RASUAH
Ubah saiz-+=