
PERUBAHAN PORTFOLIO EXCO MELAKA TETAP BERLAKU – KM
ASAHAN 22 Januari – Rombakan portfolio Exco Kerajaan Negeri tetap akan dilakukan bagi memberi keseimbangan dalam tugas dan tanggungjawab setiap Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri (MMKN), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun sedang memikirkan kaedah yang lebih terperinci kerana ia melibatkan perubahan portfolio semua exco di negeri ini.
“Saya masih lagi sedang memikirkan perubahan portfolio ini kerana dalam Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) semua Exco telah menunjukkan prestasi yang baik.
“Saya sedang mengkaji, meneliti dan memberikan pertimbangan yang tinggi untuk diadakan satu perubahan dalam portfolio dipegang Exco-Exco ini.
“Rombakan portfolio tetap berlaku, memandangkan jumlah portfolio exco hanya 10 orang, jadi saya akan membuat pengasingan supaya keseimbangan tanggungjawab itu dapat dirasai oleh semua orang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan produk pelancongan terbaharu iaitu villa dalam kebun durian di Selandar, di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri bagaimanapun memaklumkan perubahan itu tidak membabitkan penambahan jawatan Exco Kanan Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.