KEBUN DURIAN JADI PRODUK PELANCONGAN MELAKA
ASAHAN 22 Januari – Kerajaan Melaka menyokong usaha mana-mana pengusaha durian yang ingin menjadikan kebun mereka sebagai produk ekopelancongan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, insiatif itu sekali gus berupaya memacu kepelbagaian tarikan pelancongan yang ada di negeri ini.
“Mengambil contoh villa dalam kebun di Selandar yang dijadikan kawasan pertanian, ini secara tidak langsung menjadi daya tarikan kepada pelancong kerana buah durian dihasillkan berkualiti tinggi.
“Dengan landskap yang cantik, menarik dan bangunan yang indah, saya lihat kawasan ini mempunyai satu potensi besar yang boleh menarik pelancong sesuai dengan Negeri Melaka.
“Sebenarnya di Melaka ini pelbagai cara untuk mempromosikan ekopelancongan, namun ia berdasarkan kepada kemampuan pelaburan pengusaha itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan produk pelancongan terbaharu iaitu villa dalam kebun durian di Selandar, di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Yang turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri juga menyambut baik usaha pemilik villa tersebut yang turut bersama dalam memperkasa sektor pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Melaka yang dilanjutkan sehingga tahun 2026.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga sedia membantu mempromosi keunikan yang ada di villa tersebut untuk untuk diletakkan dalam kalendar pelancongan Melaka.
“Mungkin apabila tiba Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) pada September depan, kita akan cuba menjadikan kawasan ini sebagai salah satu destinasi lawatan menteri-menteri pelancongan dari seluruh dunia berkunjung ke sini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.