PEMBUKAAN SEMULA ‘KOLAM AIR PANAS GADEK’ BERI LIMPAHAN EKONOMI SETEMPAT
GADEK 22 Januari – Gadek Hotspring Wellness dan Spa Resort atau dahulunya dikenali Kolam Air Panas Gadek bakal menjadi antara destinasi pelancongan luar bandar utama di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam berkata pembukaan semula kolam air panas tersebut memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan luar bandar di negeri itu.
Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri optimis dengan impak dari pembinaan semula nadi tarikan pengunjung ke Gadek.
“Saya percaya lokasi ini bakal menjadi tempat menggamit lebih ramai pengunjung yang sukakan kolam air panas semulajadi yang lengkap dengan fasiliti dan selesa ini.
“Limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar turut memberi kesan positif selepas pembukaan semula kolam air panas yang diberi suntikan konsep Wellness dan Spa Resort,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Majlis Perasmian Gadek Hotspring Wellness and Spa Resort yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sini malam tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.
Untuk rekod, kolam air panas tersebut beroperasi bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari Selasa hingga Ahad manakala hari Isnin ditutup.
Manakala harga tiket untuk hari biasa (Selasa hingga Khamis) untuk dewasa berjumlah RM12 dan kanak-kanak dan warga emas RM10.
Untuk cuti am dan hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad), bayaran dikenakan RM15 untuk dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak, dan warga emas.
Bagi harga resort dan chalet yang ditawarkan bermula dengan harga serendah RM 160 sehingga RM460.
Sehingga 31 Januari 2025, promosi pembukaan sebanyak 10 peratus turut ditawarkan kepada orang ramai yang mahu menikmati pengalaman menarik di Gadek Hotspring Wellness and Spa Resort.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.