JALAN BAHARU KUALA LINGGI-AYER MOLEK BERMULA PERTENGAHAN TAHUN INI
KUALA LINGGI 21 Januari – Pembinaan jalan baharu dari Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah sejauh 8 kilometer dijangka akan bermula pada pertengahan tahun ini, kata Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Menurut beliau, projek yang menelan kos sekitar RM125 juta itu sudah selesai proses reka bentuk, di mana ia dapat memendekkan jarak perjalanan laluan sedia ada yang berbukit serta berselekoh sepanjang 23 kilometer.
Menurut beliau, menerusi jaringan jalan baharu itu, ia juga dapat merancakkan pembangunan ekonomi di kawasan terlibat.
“Seperti kita tahu, Kuala Linggi mempunyai pelabuhan bertaraf antarabangsa Kuala Linggi International Port, jadi ia memerlukan satu jaringan jalan raya yang baik untuk pengangkutan.
“Dengan adanya jalan baharu ini, ia akan menyambungkan Kuala Linggi ke Ayer Molek dan seterusnya ke Lubok China dan boleh keluar ke Bandar Melaka.
“Selain itu, jajaran ini juga kita rancang agar ia dapat bersambung dengan kawasan Jeram di Ayer Limau,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.
Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, dengan adanya jajaran baharu itu, ia juga dapat memudahkan penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan itu melalui jalan yang lebih selamat dan dapat mengurangkan masa perjalanan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.