Sorting by

×

WIFI PERCUMA DI DUA MASJID

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

ASAHAN 20 Januari – WiFi percuma Negeri Melaka akan disediakan di Masjid Al-Aminin Sungai Tuang dan Masjid As-Safwan Kampung Telok Gong, Kuala Linggi dalam jangka masa terdekat.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata penyediaan internet percuma itu sekali gus menambah baik kemudahan awam penduduk di kawasan itu.

“Kita letak WiFi percuma Negeri Melaka di masjid ini kerana lokasinya berhampiran kawasan pantai yang menjadi tumpuan para pelancong.

“Dengan adanya kemudahan WiFi percuma ini sudah tentu pelancong akan berhenti berehat di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Khatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan 2025 di Kolej Komuniti Selandar, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata sebuah menara telekomunikasi baharu akan dibina di Telok Gong, Masjid Tanah bagi meningkatkan capaian internet di kawasan itu.

Katanya, cadangan itu dibuat berikutan aduan diterima daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Gong mengenai capaian internet di kawasan itu yang kurang memuaskan.

“Jadi kita membuat audit selular di kawasan tersebut bersama agensi terlibat seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat telko.

“Justeru, kita harap tahun ini pembinaan menara telekomunikasi tersebut akan dapat direalisasikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post TIGA TAMAN MADANI DI AYER KEROH
Next post OPERASI SAR DUA NELAYAN HILANG DI PERAIRAN PULAU UNDAN DITAMATKAN
Ubah saiz-+=