Sorting by

×

TIGA TAMAN MADANI DI AYER KEROH

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 20 Januari – Tiga lagi Taman Madani dijangka dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh sepanjang tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, meskipun pihaknya mengenal pasti banyak lokasi yang berpontensi dijadikan Taman Madani namun untuk tahun ini tambahan tiga lagi akan dipohon daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Tahun lalu kita sudah berjaya membangunkan tiga Taman Madani iaitu di Ayer Keroh Heights, Taman Sutera Wangi dan Taman Kerjasama. Taman-taman yang jarang digunakan kita naik taraf dan dijadikan Taman Madani.

“Untuk itu, pada tahun ini kita rancang akan mohon tiga lagi dengan KPKT.

“Antara fasiliti yang terdapat di Taman Madani antaranya trek joging, taman permainan, padang futsal dan bola sepak serta pentas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hiasan Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di perkarangan Balai Raya Taman Bukit Melaka, pada Ahad.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad.

Kerk yang juga Timbalan Speaker berkata, kewujudan Taman Madani memberi impak amat besar dalam komuniti setempat apabila menjadi lokasi berkumpul masyarakat setempat.

“Idea untuk Taman Madani ini saya inspirasikan daripada tapak hiasan Tahun Baharu Cina tahun lepas, apabila melihat masyarakat pelbagai kaum berada di dalam satu tempat.

“Kita beranggapan menjadi platform yang berkesan dalam memupuk semangat perpaduan malah saya percaya untuk  memupuk perpaduan kadang kala kita boleh bermula dari peringkat komuniti terlebih dahulu,” katanya.

Jelasnya, selain dapat melakukan aktiviti riadah dan bersukan, Taman Madani itu juga boleh menjadi lokasi kepada penganjuran program komuniti .

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

114
Kongsi :
Previous post TAPAK HIASAN TAHUN BAHARU CINA SIMBOLIK PENGUKUHAN SEMANGAT PERPADUAN, KEHARMONIAN
Next post WIFI PERCUMA DI DUA MASJID
Ubah saiz-+=