
ANAK ASAHAN ‘MASUK JAWI’ DAPAT SIJIL
ASAHAN 19 Januari – Seramai 108 anak-anak Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan diberikan sijil penyertaan masuk jawi pada Program Khatan Perdana DUN Asahan 2025 di Kolej Komuniti Selandar, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata sijil berkenaan dijadikan sebagai kenangan kepada peserta untuk mengingati tarikh mereka dikhatankan.
“Program ini adalah kali keempat dianjurkan oleh DUN Asahan yang mana kali ini mendapat kerjasama daripada Kolej Komunti Selandar termasuk pemberian sijil penyertaan.
“Setiap tahun sasaran kita adalah 100 peserta, tetapi alhamdulillah penyertaan memang selalu melebihi sasaran.
“Tahun ini kita tetapkan had umur untuk berkhatan adalah enam tahun dan ke atas mengikut saranan jabatan kesihatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan di Kolej Komuniti Selandar di sini, hari ini.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital berkata, pemberian sijil itu akan diteruskan pada program-program berkhatan yang diadakan di DUN Asahan pada masa akan datang.
“Sijil ini ada tarikh dan nama peserta itu sendiri, saya yakin ini adalah kenangan yang tidak akan dilupakan mereka apabila dewasa kelak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.