Sorting by

×

LUBUK KERIANGAN KAKI PANCING ADA DI KUALA LINGGI

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 17 Januari – Kuala Linggi yang terletak di kawasan paling utara Negeri Melaka tersimpan pelbagai khazanah pelancongan yang boleh diteroka.

Daripada pesisir pantai yang cantik dan memukau, sungai yang didiami pelbagai spesies flora dan fauna, hinggalah ke pulau dan kota bersejarah yang tersimpan pelbagai kisah.

Namun tahukah anda, di sini juga terdapat sebuah ‘syurga’ memancing yang telah menggamit ramai kaki pancing dari seluruh negara.

Ia tidak lain dan tidak bukan Kolam Memancing Air Masin Telok Belanga yang terletak di Jalan Telok Gong, Kuala Sungai Baru.

Kolam yang mula beroperasi pada Mei 2022 yang lalu itu diusahakan dua beranak, Halim Hassan, 53 dan Mohd Ismail Hassan, 28 di tapak seluas lima hektar yang menempatkan dua buah kolam memancing.

Menurut Halim, dua kolam tersebut mampu memuatkan lebih 500 pemancing pada satu-satu masa dan dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 pagi keesokan harinya.

Ujar beliau, rata-rata pemancing menyifatkan kolam tersebut sebagai antara kolam memancing paling berbaloi iaitu dengan kadar bayaran RM130 untuk tempoh enam jam, selain menempatkan pelbagai jenis ikan bersaiz 1.5 kilogram (kg) hingga 7kg.

Img 20250118 185753 550
IKAN merah antara spesies target di Kolam Memancing Air Masin Telok Belanga. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurutnya, sehingga kini terdapat sembilan jenis ikan boleh dipancing di kolam tersebut iaitu kaci (siakap merah), senangin taiwan, merah, bawal, kerapu bintik, kerapu tiger, kerapu naga, GT dan terbaharu spesies kanai yang dibawakan khas dari Sabah.

“Istimewanya, kolam ini merupakan kolam air masin tulen di mana air masin itu dipam terus dari laut membuatkan ikan-ikan yang terdapat di sini tidak berbau lumpur.

“Malah, rata-rata pemancing menyifatkan tarikan ikan di kolam ini lebih kuat dan bertenaga atas faktor air masin yang dipam dari laut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Halim, kewujudan kolam itu terbukti berupaya memacu sektor pelancongan Negeri Melaka apabila ia berjaya menarik kehadiran pemancing dari luar Melaka, termausklah Johor, Kedah dan Selangor.

Ujarnya, secara purata lebih 100 pemancing akan berkunjung ke kolam itu bagi menguji adrenalin merasai tarikan pelbagai spesies ikan gred A.

“Jika dapat dilihat, pada hujung minggu kawasan parkir kolam ini sentiasa dipenuhi kenderaan dan ia secara tidak langsung membantu merancakkan ekonomi setempat di kawasan ini,” ujarnya.

Picsart 25 01 18 19 00 31 718
MOHD Ismail (kiri) dan Halim (kanan). Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Sementara itu, Mohd Ismail yang merupakan pemilik kolam berkata, setiap hari dianggarkan 300 ekor ikan pelbagai spesies akan dilepaskan untuk kaki pancing yang mahu melepaskan ‘gian’ mereka.

Katanya, jumlah itu bagaimanapun berbeza mengikut hari, di mana pada hujung minggu dan cuti umum, bilangan ikan yang dilepaskan akan ditambah.

Menurut anak muda itu, sejak dibuka, kolam berkonsep riadah itu terbukti berjaya menyatukan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan umur, bahkan ia juga menjadi medan perkongsian ilmu sesama kaki pancing.

“Alhamdulillah baik yang muda mahupun berusia semuanya bersatu dalam satu hobi yang sama dan saling berkongsi pendapat. Sebagai pengusaha kolam, kami amat bersyukur dengan sokongan yang diberikan kaki pancing selama ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

155
Kongsi :
Previous post LADANG NANAS PREMIUM KUALA LINGGI
Next post RV PARK BUKIT SERINDIT PENUHI KEPERLUAN ASAS PEMINAT KARAVAN
Ubah saiz-+=