W.R.U.R JELMAKAN LEBIH 40 PENCAPAIAN UNTUK WARGA KUALA LINGGI
KUALA LINGGI 18 Januari – Penganjuran edisi pertama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi telah menjelmakan lebih 40 pencapaian utama.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif berkonsep turun padang bagi mendengar denyut nadi rakyat itu telah diadakan selama dua minggu bermula 4 Januari lalu dan berakhir hari ini.
Jelas beliau, berkat keberkesanan daripada program ini dan melalui peruntukan yang diberikan, Kerajaan Negeri telah berjaya menyentuh 40 pencapaian mencakupi pelbagai aspek, termasuklah pembangunan, kebajikan, pendidikan dan sebagainya.
“Antara pencapaian yang utama di DUN Kuala Linggi adalah pembaikan Balai Raya Kuala Linggi dengan kos RM30,000; pembinaan longkang baharu di Lorong Kundang, Kampung Telok Gong (RM35,000); dan baik pulih hakisan di Jalan Sungai Tuang 6, Kampung Sungai Tuang (RM25,000).
“Selain itu, sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi pemasangan tiang elektrik serta lampu awam di kawasan Permatang Indah, kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Pantai dan Kampung Baru; membina tembok di Padang Petanque Kampung Telok Gong (RM20,000) serta baik pulih Gelanggang Futsal Kampung Permatang (RM30,000).
“Antara impak terbesar adalah pembinaan jalan dari Kuala Linggi Ke Ayer Molek, Masjid Tanah, Alor Gajah iaitu sebanyak RM125 juta melibatkan Jambatan Sungai Linggi ke persimpangan Jalan Ayer Molek, Masjid Tanah sejauh 8 kilometer sekali gus memendekkan jarak perjalanan laluan sedia ada yang berbukit serta berselekoh sepanjang 23 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Kuala Linggi dan Perasmian Dewan Bakti Sekolah Kebangsaan Othman Shawal, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Tambah Ab Rauf, hasil pelaksanaan W.R.U.R juga, sebuah sekolah daif berusia 44 tahun iaitu Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah bakal mendapat bangunan baharu apabila ia diluluskan dengan kos berjumlah RM5.7 juta, selain turut dibina sebuah jejantas di hadapan sekolah berkenaan dengan kos RM300,000.
Selain itu, masyarakat DUN Kuala Linggi turut mendapat manfaat dengan pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Sungai Parit Besar yang terletak berhadapan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dengan kos RM385,000 merangkumi jalan denai berkonkrit sepanjang 650 meter dilengkapi dengan tiga buah wakaf, 23 buah lampu solar dan lima buah kerusi batu termasuk mercu tanda yang siap dipasang untuk kemudahan rekreasi.
“Antara projek-projek di bawah Jabatan Kerja Raya yang telah diselesaikan adalah naik taraf Pejabat Maqis Kuala Linggi, Melaka dengan nilai RM300,000; membina satu unit pelantar, pintu gerbang ke trek pendakian di Taman Eko Rimba Tanjung Tuan bernilai RM520,000; penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan ekopelancongan di Taman Eko Rimba Tanjung Tuan berjumlah RM230,000 serta menurap semula Jalan Kuala Sungai Baru ke Ayer Molek dengan nilai RM102,000; pembaikan sistem perparitan Jalan Pengkalan Balak ke Telok Gong berjumlah RM144,000;
“Selain itu, ia turut membabitkan pembaikan Jalan di selekoh Telok Gong bernilai RM169,000; naik taraf Jalan Masjid Tanah – Kuala Linggi berjumlah RM1 juta; naik taraf Simpang dan lampu isyarat di Pasar Kuala Sungai Baru berjumlah RM500,000; kerja-kerja penyelenggaraan lampu jalan dalam DUN Kuala Linggi sebanyak 123 unit berjumlah RM35,000 serta menaik taraf persimpangan UNIMEL di Jalan Kuala Sungai Baru ke Kuala Linggi dengan anggaran kos RM300,000.
“Bagi menyelesaikan masalah tekanan air di Kuala Linggi, sebuah tangki di Bukit Sekawang bernilai RM16 juta akan dibina sekali gus memberi manfaat kepada 7,000 pemilik akaun Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di DUN ini, selain penanaman paip melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Ladang dan Kampung Permatang dengan kos RM80,000,” katanya.
Ketua Menteri berkata, dalam aspek kebersihan dan keceriaan pula, hampir 1 tan sisa berjaya dibersihkan melibatkan keseluruhan kawasan pekan Kuala Sungai Baru dengan kutipan sebanyak 450 kilogram sisa kebun, 235 kilogram sisa pukal dan 230 kilogram sampah litter hasil gotong-royong yang dilaksanakan pelbagai agensi.
Menurut beliau, aspek pembangunan usahawan dan pemerkasaan belia juga tidak dilupa apabila turut diadakan program jelajah dan town hall untuk mendengar permasalahan dan denyut nadi mereka.
Dalam aspek kebajikan, beliau memaklumkan pelbagai inisiatif telah disalurkan kepada masyarakat kurang bernasib baik di Kuala Linggi, antaranya bantuan menerusi ziarah kasih, baik pulih rumah, selain khidmat membersihkan rumah golongan sasar.
Usaha terbesar Kerajaan Negeri bagi melestarikan kehidupan rakyat Melaka pula dapat dilihat menerusi inisiatif transformasi Kampung Digital melibatkan sebanyak 178 buah kampung di DUN Kuala Linggi dengan pemasangan pelekat telah disempurnakan di Kampung Guan.
“Kampung Guan juga bakal menerima balai raya baharu dengan kos hampir RM1 juta meliputi kos pengambilan tanah dan juga bina baharu bangunan balai raya.
“Selain itu, Lembaga Perumahan Melaka turut memperuntukkan RM56,800 bagi program tanggungjawab sosial korporat baik pulih rumah di Kuala Linggi.
“Manakala, dalam aspek pengangkutan awam, Kerajaan Negeri telah mengangkat permohonan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk meluaskan perkhidmatan bas panorama yang kini dengan memanjangkan laluan perkhidmatannya dari Masjid Tanah hingga ke hentian bas Kuala Linggi,” katanya.
Tambah Ab Rauf, hasil daripada lawatan mengejut ke Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru, beliau turut mengumumkan sumbangan berupa lima unit pendingin hawa bagi memberi manfaat kepada masyarakat yang mendapat perkhidmatan kesihatan di kawasan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.