Sorting by

×

175 MASYARAKAT TIONGHOA TERIMA ANGPAU

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LINGGI 17 Januari – Seramai 175 orang masyarakat Tionghoa dari Parlimen Masjid Tanah menerima sumbangan perayaan bersempena Tahun Baharu Cina 2025 daripada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, pelbagai bentuk sokongan dan skim bantuan disediakan termasuklah Program Sumbangan Bantuan Perayaan Negeri Melaka menerusi Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka.

“Bagi menjamin amanah ini terus sampai kepada rakyat, Kerajaan Negeri berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada seramai 175 orang penerima dari Parlimen Masjid Tanah membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM35,000.

“Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan penerima sekali gus memberi sedikit keceriaan dalam membuat persediaan bagi menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Tahun Baharu Cina, Tahun 2025 Negeri Melaka, di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Shawal.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Ab Rauf berkata, sejak dahulu lagi, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan rakyat di Melaka terus berada dalam kesejahteraan malah tidak ada seorang pun dipinggirkan.

“Penyampaian sumbangan ini simbolik keprihatinan dan tanggungjawab Kerajaan Negeri yang begitu mendalam bagi menyantuni nasib dan keluh nadi rakyat yang memerlukan khususnya menjelang persiapan musim perayaan.

“Mengambil semangat tahun ular ini, mari bersama-sama kita terus melangkah maju ke hadapan dengan berfikir lebih mendalam, bijak dalam membuat keputusan dan berani membuat transformasi pembaharuan kehidupan untuk keluar dari kepompong kesusahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

108
Kongsi :
Previous post PEMBANGUNAN KUALA LINGGI LEBIH RANCAK 2025
Next post W.R.U.R ‘TERANGI’ LAMPU JALAN DI KUALA LINGGI
Ubah saiz-+=