PEMBANGUNAN KUALA LINGGI LEBIH RANCAK 2025
KUALA LINGGI 17 Januari – Pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi akan semakin rancak tahun ini dengan pelbagai projek khusus untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara projek terbesar yang dirancang adalah pembinaan jalan baharu dari Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah yang menelan kos anggaran RM129 juta dengan sebut harga dijangka diiklankan pada Julai tahun ini.
Selain itu, kata beliau, turut dirancang adalah projek menaik taraf persimpangan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) di Jalan Kuala Sungai Baru ke Kuala Linggi dengan anggaran kos RM300,000.
“Tidak hanya itu, sebuah lagi sekolah daif iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Linggi turut akan dibangunkan dengan kos siling RM5.5 juta, di mana ia mencakupi skop kerja meroboh dan membina semula satu bilik darjah prasekolah serta kemudahan lain mengikut piawai termasuklah perolehan perabot, kelengkapan dan peralatan mengikut piawai.
“Turut diluluskan adalah projek penanaman paip bagi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di Kuala Sungai Baru membabitkan dua buah kampung iaitu Kampung Ladang dan Kampung Permatang dengan kos RM80,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi merangkap Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.
Pada majlis itu, Ab Rauf telah menyempurnakan simbolik pecah tanah bagi pembinaan bangunan baharu SK Kampong Tengah melibatkan kos berjumlah RM5.7 juta.
Ia membabitkan pembinaan empat bilik darjah, kantin, pondok pengawal dan dataran perhimpunan bagi keselesaan 230 murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.