Sorting by

×

TANGKI RM16 JUTA SELESAI KEMELUT TEKANAN AIR RENDAH KUALA LINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 17 Januari – Masalah tekanan air rendah yang melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi bakal terlerai dengan pembinaan sebuah tangki di Bukit Sekawang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek itu menelan kos berjumlah RM16 juta, di mana ia dijangka bermula tidak lama lagi.

“Insya-Allah projek ini dijangka siap tahun depan, sekali gus membantu menyelesaikan masalah tekanan air di kawasan ini yang sering membelenggu masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi merangkap Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu, Hameed memaklumkan, masalah tekanan air yang melanda penduduk Kuala Linggi adalah disebabkan sebelum ini bekalan air itu diambil dari Loji Bertam yang mengambil jarak lebih 30 kilometer untuk sampai ke Kuala Linggi.

Jelas beliau, tangki tersebut merupakan antara alternatif dilakukan Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah yang membelenggu penduduk, sementara menunggu projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Jernih yang dijangka siap 2027.

“Sekarang proses tender sedang berjalan dan kita jangka projek pembinaan tangki air ini akan bermula pada September dan seterusnya memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 pemilik akaun Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di DUN ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

188
Kongsi :
Previous post RM5.7 JUTA BANTU SK KAMPONG TENGAH KELUAR DARI ‘KEPOMPONG’ DAIF
Next post PEMBANGUNAN KUALA LINGGI LEBIH RANCAK 2025
Ubah saiz-+=