713 CALON SPM 2025 MELAKA TERLIBAT ‘PROGRAM ANAK KITA’
AYER KEROH 16 Januari – Pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Negeri Melaka akan melibatkan seramai 713 pelajar dari 61 sekolah menengah di Melaka.
Ketua Pengarah Unit Pantau Madani Pejabat Perdana Menteri, Mohd Khalid Mohamed Latiff berkata, program tersebut merupakan intervensi buat pelajar SPM untuk memastikan pelajar-pelajar layak mendapat sijil SPM setelah tamat pembelajaran di sekolah menengah.
Pada masa sama, katanya, program itu juga berobjektif untuk memperbaiki keputusan SPM secara keseluruhan, selain mengembalikan anak-anak yang tercicir kembali ke sekolah dengan akses pendidikan berkualiti.
“Menerusi program ini, elemen teknologi dan pendigitalan telah diterapkan melalui penggunaan beberapa aplikasi seperti SideBook, Webex, YouTube, Google Meet, Zoom dan Telegram.
“Untuk pengetahuan semua, SideBook mempunyai lima modul iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Sains.
“Saya percaya elemen digital ini adalah penting dalam membina keupayaan pelajar untuk menghadapi cabaran dalam dunia semasa yang dipacu oleh kemajuan teknologi dan diharapkan aspek intervensi digital ini akan turut membantu memperkasa usaha pendidik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyampaian Kit Peranti dan Sijil Kolaboratif Program Anak Kita Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Rektor Institusi Pendidikan Guru Malaysia Yang Menjalankan Tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Pembangunan Profesionalisme, Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Yang Menjalankan Tugas Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Karim Tumin serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata pihaknya akan membuat penetapan petunjuk prestasi kualiti (KPI) untuk semua program di bawah Payung PAK bagi memastikan intervensi dijalankan efektif dan berkesan.
“Input daripada organisasi antarabangsa seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Bank Dunia dan ertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga akan diambil kira untuk proses penilaian impak bagi menilai keberkesanan intervensi PAK,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan pada Program Pecutan SPM 2024 pada akhir tahun lepas, seramai 299 pelajar dari 29 buah sekolah telah menyertai program tersebut yang dikendalikan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Jelas beliau, seramai 28 Guru Bitara yang juga merupakan pelajar UPSI dalam bidang pengkhususan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah terlibat dengan program tersebut di Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.