Sorting by

×

BAZAR AIDILFITRI BANDA HILIR LAIN DARI YANG LAIN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 16 Januari – Bazar Mega Aidilfitri Banda Hilir 2025 di Banda Hilir mendapat sambutan hebat daripada peniaga apabila kesemua 200 tapak perniagaan yang disediakan sudah dipenuhi.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, bazar itu akan memeriahkan kawasan Jalan Kota iaitu berhampiran bangunan lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Banda Hilir hingga ke Bastion House dan seterusnya melalui lorong di Taman Bunga Merdeka hingga ke tapak parkir Menara Taming Sari.

Menariknya, beliau memaklumkan, bazar berkenaan menampilkan konsep yang berbeza apabila ia bakal beroperasi lebih awal iaitu bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 2 pagi.

Jelasnya, konsep itu dibawa memandangkan lokasi berkenaan merupakan kawasan tumpuan pelancong, di mana ia bukan sahaja menjadi tumpuan umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri untuk membeli barangan menyambut raya, bahkan boleh menjadi destinasi persinggahan pelancong asing yang mahu membeli buah tangan dari Melaka.

“Jadi inilah usaha Kerajaan Negeri bagi memberi peluang kepada peniaga mencari rezeki lebih, selain terus menghidupkan kawasan Banda Hilir sebagai destinasi tumpuan.

“Kita percaya, di bazar ini nanti, peniaga bukan hanya menjual kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti baju raya, kemeja T, tudung dan lain-lain, bahkan akan turut memperkenalkan pelbagai cenderahati seperti kraftangan dan produk ikonik Melaka kepada pelancong luar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Layout Bazar Ikonik
CADANGAN layout Bazar Aidilfitri Mega Banda Hilir.

Menurut Shadan, bersempena penganjuran bazar berkenaan yang dijadual bermula Mac depan, MBMB juga akan menambah baik kawasan berkenaan bagi memberikan lebih keselesaan kepada pengunjung dan pelancong.

Jelasnya, ia termasuklah menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang lebih baik seperti tandas, surau serta pondok wakaf untuk keluarga berehat selepas membeli-belah.

“Pada masa sama, aspek keceriaan juga akan diberi perhatian, di mana kita akan membuat penambahan lampu berwarna-warna bagi menambahkan ‘mood’ serta kemeriahan sepanjang bazar ikonik tersebut berlangsung,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

97
Kongsi :
Previous post W.R.U.R: KAMPUNG GUAN KINI DILENGKAPI KOD QR
Next post PERANTI TABLET ‘PENYELAMAT’, BERI BANYAK MANFAAT KEPADA PELAJAR
Ubah saiz-+=