Sorting by

×

ADVOKASI, KESEDARAN TANGANI BULI SIBER

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PENGKALAN BATU 14 Januari – Kesedaran tentang buli siber harus dipupuk bermula di peringkat sekolah rendah kerana kanak-kanak di bawah usia 10 tahun sudah terdedah kepada penggunaan telefon pintar.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, berkata menyedari situasi itu, menjadi antara tanggungjawab pihaknya dalam memastikan tiada kejadian buli siber ini berlaku sehingga boleh mengakibatkan kejadian di luar jangka sekaligus mendatangkan kemudaratan.

“Setakat ini kita belum menerima sebarang laporan berkaitan buli siber yang ada mempunyai kaitan dengan murid atau pelajar sekolah.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada berlaku tetapi mungkin perkara itu tidak diberitahu atau dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Untuk itu program advokasi atau yang mempunyai pendidikan berkaitan buli siber perlu diperkasakan supaya anak-anak sedar akan kesan buruk yang akan berlaku,” katanya.

Kalsom berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah: Kekal Selamat Di Dunia Siber, yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Peringgit, semalam.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, buli siber menjadi isu nasional dan masyarakat tidak boleh mendiamkan diri sahaja sebaliknya perlu tampil melaporkan.

“Selain agensi berkaitan ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam menangani risiko terdedah kepada buli siber dengan mengawasi penggunaan telefon pintar anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Kalsom berkata, Program Kembali Ke Sekolah: Kekal Selamat Di Dunia Siber adalah kolaborasi pihaknya bersama pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.

“Program informasi mengenai dunia siber yang dijalankan secara interaktif dalam bentuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan kuiz membabitkan lebih 400 murid SK Peringgit.

“Menerusi penganjuran ini ia dapat membantu membentuk persekitaran digital yang lebih baik dengan memupuk amalan penggunaan internet yang bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, pada program itu juga Kalsom menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada SK Peringgit bagi memperkukuhkan fasiliti, keperluan dan pembangunan berkaitan ICT di sekolah berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

68
Kongsi :
Previous post JANGAN JADIKAN RUMAH ‘LUBUK’ SAMPAH
Next post MYLESEN: MELAKA DAPAT 800 KUOTA LESEN B2 PERCUMA
Ubah saiz-+=