Sorting by

×

KUTIPAN HASIL MELAKA MENINGKAT, REKOD PENCAPAIAN TERTINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Melaka berjaya menambah kutipan hasil negeri kepada RM489.7 juta tahun lalu, sekali gus merekodkan pencapaian tertinggi iaitu melebihi 100 peratus sasaran.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus meletakkan Melaka di kedudukan ketiga peningkatan unjuran prestasi hasil pendapatan negeri-negeri.

Tidak hanya itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri turut berjaya mengurangkan jumlah baki pokok hutang awam dengan Kerajaan Persekutuan iaitu daripada RM636.34 juta pada tahun 2022 kepada RM631.95 juta pada 2023 dan seterusnya RM625.49 juta tahun lalu.

“Selain itu, kutipan Zakat Melaka juga meningkat 10.11 peratus iaitu sebanyak RM141.3 juta tahun lalu berbanding RM128 juta pada 2023.

“Pada masa sama, Kampung Digital Melaka telah mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dengan pemberian geran berjumlah RM3.37 juta, selain Melaka akan menjadi negeri rujukan untuk Sistem Alamat Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, sepanjang tahun ini, Melaka disasarkan akan menempa lebih banyak kejayaan dalam pelbagai sektor termasuk dalam menarik minat pelabur-pelabur ke negeri ini.

Beliau optimis dengan pembukaan beberapa kawasan perindustrian baharu umpamanya, German Technology Park (GTP), MCORP Hi Tech Park dan Elkay 2.0 akan terus memacu ekonomi Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

142
Kongsi :
Previous post PRODUK PELANCONGAN PERCUMA 20 FEBRUARI 2025
Next post MELAKA SASAR 16.5 JUTA PELANCONG 2025
Ubah saiz-+=