Sorting by

×

PRODUK PELANCONGAN PERCUMA 20 FEBRUARI 2025

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Inisiatif produk pelancongan percuma pada 20 Februari akan diteruskan tahun ini, umum Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, inisiatif kemasukan percuma itu diberikan bersempena cuti umum Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Banda Hilir pada tanggal 20 Februari 1956.

Menurut beliau, produk pelancongan percuma itu masih sama seperti tahun lalu, antaranya Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka dan muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

“Maka, kita menjemput bukan sahaja rakyat Melaka tetapi juga pelancong dan pengunjung dari luar negeri ini untuk datang dan menikmati tawaran istimewa yang diberikan.

“Kita sedia maklum terdapat beberapa masalah seperti kesesakan dan sebagainya pada tahun lalu, jadi kita akan membuat penambahbaikan berdasarkan kajian yang sedang dibuat.

“Mekanisme untuk tiket kemasukan percuma ini akan kita umum dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan produk pelancongan swasta untuk turut bersama menyertai insentif kemasukan percuma itu bersama-sama Kerajaan Negeri.

Pada 20 Februari tahun lalu, Melaka merekodkan keseluruhan 150,000 pelancong dan pengunjung hasil insentif kemasukan percuma ke produk-produk pelancongan bersempena Hari Terbuka Melaka dan cuti umum Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara.

Sebanyak 11 produk pelancongan menyertai insentif tersebut iaitu Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Melaka Wonderland & Themepark, Malaysia Heritage Studio, muzium di bawah PERZIM, Balai Cerap Al-khawarizmi, lima kelab golf, Muzium Penjara Malaysia, Taman Laut Melaka serta Taman Tema Air dan Taman Safari A’ Famosa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

338
Kongsi :
Previous post ‘SEPIT BIRU’ TINGKAT EKONOMI NELAYAN MELAKA
Next post KUTIPAN HASIL MELAKA MENINGKAT, REKOD PENCAPAIAN TERTINGGI
Ubah saiz-+=