Sorting by

×

MELAKA SUMBANG LEBIH 2,000 TAN METRIK HASIL PERIKANAN

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Januari – Melaka menyumbang 2,031.056 tan metrik hasil perikanan tangkapan dengan nilai RM50.1 juta sepanjang 2024.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain, jumlah itu membabitkan seramai 1,110 nelayan serta 926 vesel, di mana rata-rata nelayan di negeri ini merupakan nelayan Zon A, yang menjalankan penangkapan ikan di jarak 0 hingga 5 batu nautika.

Jelas beliau, secara keseluruhan Melaka memberi sumbangan sebanyak 0.4 peratus kepada keseluruhan komoditi perikanan negara, di mana ia turut merangkumi subsektor akuakultur dengan nilai RM37.7 juta dengan penghasilan 4,348.6 tan metrik ternakan air tawar dan air payau; perikanan darat (RM0.63 juta – 21.5 tan metrik) serta ikan hiasan (RM552,020 – 191,139 ekor).

“Kita berharap hasil perikanan ini akan terus meningkat, di mana, di peringkat Jabatan Perikanan kita akan terus menjalankan program pemuliharaan sumber secara mampan antaranya melabuhkan tukun di perairan umum, mengawal pelesenan perikanan dan aktiviti pencerobohan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Pertanian Peringkat Parlimen Masjid Tanah 2025 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Norazli Indzam; pengarah-pengarah jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Adnan memaklumkan secara keseluruhan subsektor perikanan tangkapan negara mencatatkan pengeluaran sebanyak 1.42 juta tan metrik dengan nilai keseluruhan RM12.8 bilion pada tahun lepas, melibatkan sebanyak 49,173 vesel serta 112,344 nelayan termasuk 25,125 kru asing.

Beliau berkata pengeluaran dari perairan laut pantai menyumbang sebanyak 86.7 peratus iaitu 1.23 juta tan metrik manakala laut dalam sebanyak 13.3 peratus dengan jumlah tangkapan 189,000 tan metrik.

Adnan berkata, sumbangan terbesar hasil tangkapan adalah dari Zon A iaitu sebanyak 484,220 tan metrik diikuti Zon C (aktiviti penangkapan lebih 12 batu nautika) dengan 430,260 tan metrik) dan 318,080 tan metrik daei Zon B (aktiviti penangkapan 5 hingga 12 batu nautika).

Jelas beliau, sepanjang tahun ini, Jabatan Perikanan menyasarkan jumlah hasil perikanan negara meningkat kepada 1.5 juta tan metrik, dengan tumpuan turut diberikan kepada pendaratan ikan tuna iaitu vesel yang dilesenkan untuk menangkap ikan bernilai tinggi itu di Lautan Hindi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

145
Kongsi :
Previous post BINA BAHARU, BAIK PULIH 10 RUMAH NELAYAN MELAKA
Next post ASKAR WATANIAH PERKUKUH KESELAMATAN MELAKA
Ubah saiz-+=