Sorting by

×

3,000 ANAK POKOK KELAPA PERCUMA UNTUK ORANG MASJID TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Januari – Riak wajah teruja dapat dilihat dalam kalangan masyarakat di sekitar Parlimen Masjid Tanah apabila menerima hadiah istimewa pada Karnival Pertanian Parlimen Masjid Tanah 2025 di Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadiah itu berupa lebih 3,000 anak pokok kelapa yang diagih secara percuma oleh Jabatan Pertanian Negeri Melaka kepada pengunjung yang hadir.

Tidak hanya itu, orang ramai yang datang ke karnival itu turut mendapat pelbagai faedah dan ilmu bermanfaat seperti demonstrasi cara penghasilan
produk minyak pati dan taklimat berkaitan tanaman kelapa.

Selain itu, mereka juga dapat membeli pelbagai produk pertanian dan perikanan pada harga jauh lebih murah menerusi Jualan Agro Madani yang disediakan.

Salah seorang pengunjung, Razali Husain, 56, berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Kerajaan Negeri kerana menganjurkan karnival pertanian itu yang disifatkan amat bermanfaat kepada penduduk, khususnya mereka di kawasan luar bandar.

“Selain dapat membeli pelbagai produk pertanian pada harga murah, kami juga dapat membawa pulang anak pokok kelapa untuk ditanam di rumah.

“Karnival ini memang sangat baik kerana di sini pelbagai ilmu dan peluang-peluang perniagaan dalam sektor pertanian disediakan.

“Saya amat bersetuju sekiranya karnival ini diadakan di seluruh Negeri Melaka kerana lebih ramai rakyat akan mendapat manfaatnya,” katanya.

Terdahulu, karnival tersebut telah dirasmikan Ab Rauf yang turut menyantuni pengunjung dan peniaga, selain warga kerja jabatan serta agensi yang membuka reruai pada karnival tersebut.

Dianggarkan lebih 3,000 pengunjung hadir ke karnival tersebut pagi tadi, di mana selain menerima anak pokok percuma, mereka juga dapat membeli pelbagai hasil tani dan perikanan pada harga istimewa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post KARNIVAL PERTANIAN AKAN MENJELAJAH SELURUH MELAKA
Next post MEMANCING PERCUMA TAMBAH KEMERIAHAN W.R.U.R KUALA LINGGI
Ubah saiz-+=