KARNIVAL PERTANIAN AKAN MENJELAJAH SELURUH MELAKA
TANJUNG BIDARA 12 Januari – Penganjuran karnival dan program-program pertanian akan diperluaskan di seluruh Negeri Melaka bagi memperkasa industri pertanian dan sektor agro makanan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia juga bertujuan memastikan rakyat mendapat pelbagai faedah dan ilmu bermanfaat dalam bidang tersebut.
Mengambil contoh Karnival Pertanian Peringkat Parlimen Masjid Tanah 2025, beliau berkata, rakyat telah menerima pelbagai manfaat antaranya menerusi Jualan Agro Madani dan pemberian lebih 3,000 anak kelapa secara percuma.
“Pastinya, kita mengharapkan kerjasama berterusan dengan Jabatan Pertanian dan pelbagai jabatan serta agensi lain dalam membantu mempromosikan produk-produk pertanian dan peluang-peluang perniagaan dalam bidang ini.
“Pada masa sama, masyarakat setempat dapat mengkaji dan menilai tentang pelbagai produk pertanian yang boleh dikomersialkan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pertanian Peringkat Parlimen Masjid Tanah 2025 di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Norazli Indzam; pengarah-pengarah jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Pada karnival itu, Ab Rauf turut menyempurnakan penyerahan replika cek berjumlah RM2.1 juta kepada warga Parlimen Masjid Tanah dalam memajukan sektor pertanian dan makanan di kawasan tersebut.
Sumbangan itu meliputi lima buah Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjung Bidara; Lendu; Ayer Limau, Kuala Linggi dan Taboh Naning.
Justeru, beliau menzahirkan harapan agar peruntukan yang diterima dapat membantu rakyat Masjid Tanah mengoptimumkan penjanaan pendapatan di samping
menjamin sekuriti makanan asas sekali gus memperkasa kemajuan desa di Parlimen Masjid Tanah.
Terdahulu, pada karnival tersebut, Ketua Menteri dan kenamaan turut melawat ke lebih 10 reruai yang dibuka jabatan serta agensi pertanian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.