3 JUTA BENIH UDANG GALAH DILEPASKAN DI PERAIRAN MELAKA
AYER LIMAU 12 Januari – Sebanyak tiga juga benih udang galah dilepaskan di perairan Melaka pada tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi inisiatif ia secara tidak langsung dapat meningkat stok hasil perikanan di negeri ini, di mana hasilnya dapat dituai atau dipancing dalam tempoh enam bulan daripada ia dilepaskan.
“Kita berharap daripada jumlah keseluruhan ini (tiga juta benih udang dilepaskan), sebanyak 25 peratus akan dapat membiak dan ditangkap sebagai stok makanan.
“Ini sekali gus memastikan bekalan udang galah dalam kawasan Melaka dapat digunakan untuk memenuhi permintaan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pertanian Peringkat Parlimen Masjid Tanah 2025 di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Norazli Indzam; pengarah-pengarah jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Ab Rauf telah menyempurnakan pelepasan sebanyak 100,000 benih udang galah di Jeti Pangkalan Nelayan Paya Lebar menerusi Program Pelepasan 1.1 Juta Benih Udang Galah ke Perairan Umum.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berharap benih udang galah berkenaan menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan memancing udang galah yang terkenal di negara ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.