Sorting by

×

RUKUN TETANGGA DIPERKASA, BINA KOMUNITI PROGRESIF

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LINGGI 12 Januari – Rukun Tetangga (RT) akan diperkasa sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program komuniti, kesukarelawanan dan kenegaraan pada peringkat akar umbi.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pembangunan masyarakat progresif merupakan satu daripada komponen penting dalam inisiatif Anjakan Besar Pembudayaan Masyarakat MADANI yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021-2025).

“Matlamat utama dasar ini adalah untuk membangun komuniti RT Progresif.

“Justeru itu, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil inisiatif memperkasakan peranan RT dalam komuniti sebagai penggerak dan pengantara utama serta penjalin hubung bagi merealisasikan aspirasi membangun Komuniti Progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Program Remaja Sihat, Ceria dan Harmoni dan Mini Karnival Perpaduan RT Progresif Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi 2025 di perkarangan Japerun Kuala Linggi, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah dan Pengarah Perpaduan Negeri Melaka, Intan Suhana Yusuff.

Menurut Hee Sem, bagi menterjemahkan pelaksanaan inisiatif tersebut, Kementerian Perpaduan Negara dan JPNIN telah membangunkan kerangka dan pelan tindakan pemerkasaan RT sebagai penggerak komuniti progresif.

“Sebanyak lapan bidang tumpuan yang telah ditetapkan untuk menjadikan RT sebagai entiti yang penting dan inklusif serta berupaya membangun komuniti progresif iaitu Ekonomi dan Sara Hidup, Keselamatan dan Ketahanan Komuniti, Kepimpinan, Kesejahteraan Komuniti, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya serta Daya Cipta.

“Sehubungan dengan itu, pelaksanaan Mini Karnival Perpaduan RT Progresif Peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Permatang Indah ini diharapkan dapat memperkasakan peranan RT sebagai entiti yang penting dan inklusif serta berupaya membangun Komuniti Progresif dengan memfokuskan kepada alam sekitar, warisan dan budaya serta kesejahteraan komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

95
Kongsi :
Previous post 15,000 DIJANGKA ‘SERBU’ PANTAI TANJUNG BIDARA
Next post ‘AGRO ROBOT’ TARIKAN PAMERAN TVET W.R.U.R KUALA LINGGI
Ubah saiz-+=