Sorting by

×

LEMPAR TUKUL BESI KE ARAH BALAI POLIS LEPAS DENGAR ‘BISIKAN’

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PANTAI KUNDOR 10 Januari – Polis Melaka menahan seorang lelaki yang juga penganggur selepas melakukan khianat dengan memecahkan cermin Balai Polis Tanjung Kling, 7 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu, suspek berusia 25 tahun dipercayai kurang siuman itu telah melemparkan tukul besi hingga mengenai cermin hadapan balai hingga pecah.

Ketika kejadian terdapat dua anggota polis bertugas dan tiada orang awam di dalam balai polis berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek ditahan tengah malam tadi di sebuah kediaman di Tangga Batu hasil risikan yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Menurutnya, hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku telah melakukan perbuatan itu selepas berasa marah akibat gangguan bisikan di telinga ketika memberhentikan motosikalnya di hadapan balai polis berkenaan sebelum beredar dari lokasi dan menuju ke Pantai Puteri.

“Ketika ditahan, polis telah merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda, topi keledar, sepasang kasut, pakaian dan serangkai kunci motosikal dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Md Nazri, suspek kini direman selama empat hari sehingga 13 Januari mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, insiden tersebut tidak mengandungi sebarang unsur sabotaj atau elemen subversif terhadap mana-mana pihak.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut kerana dibimbangi ia boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

212
Kongsi :
Previous post W.R.U.R: KONSEP TURUN PADANG BAWA IMPAK POSITIF
Next post BAJET 2025: RAKYAT SYUKUR KERAJAAN MELAKA PEDULI NASIB GOLONGAN MEMERLUKAN
Ubah saiz-+=