W.R.U.R: KONSEP TURUN PADANG BAWA IMPAK POSITIF
KUALA LINGGI 10 Januari – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) membawa impak positif kepada masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi yang benar-benar memerlukan perhatian dan sokongan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, menerusi usaha itu juga ia diharap dapat terus memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memastikan kesejahteraan rakyat Melaka terpelihara.
Katanya, program yang dilaksanakan adalah hasil kerjasama erat antara pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), agensi di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri serta pemimpin masyarakat yang banyak membantu dalam memaastikan semuanya berjalan lancar.
“DUN Kuala Linggi merupakan DUN pertama bagi program WRUR di Melaka dan diharapkan warga Kuala Linggi dapat menyambut baik program ini dan menggunakan peluang yang ada untuk membangunkan kawasan ini.
“Ini merupakan satu nafas baharu dalam penyampaian perkhidmatan yang berkesan berkonsepkan turun padang untuk mendengar denyut nadi rakyat.
“Secara tidak langsung juga ia dapat menzahirkan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu golongan masyarakat yang memerlukan dalam suasana yang harmoni dan bermuafakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Skim Bantuan Kerajaan Negeri Sempena Program W.R.U.R DUN Kuala Linggi di Balai Raya Kampung Kuala Linggi, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka, Halyjah Muhamad serta kenamaan lain.
Pada majlis tersebut, seramai 137 warga DUN Kuala Linggi menerima bantuan berupa lampin pakai buang dewasa, susu untuk pesakit terlantar, selain bantuan alat tiruan / alat sokongan oleh JKM Negeri Melaka.
Selain itu, Kalsom turut menyertai program Kembara Kak Som W.R.U.R dengan menziarahi lima rumah pesakit terlantar dalam DUN Kuala Linggi.
Dalam pada itu, Kalsom optimis, W.R.U.R yang dicetuskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu dapat membawa suatu dimensi baharu dalam memberikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat.
Disamping itu, beliau juga percaya segala permasalahan berbangkit di setiap DUN dalam Negeri Melaka dapat diselesaikan secara tuntas dengan penglibatan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.