Sorting by

×

WRUR MEDAN BERJUMPA EMPAT MATA BERSAMA PEMIMPIN

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LINGGI 7 Disember – Inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, membuka ruang kepada segenap lapisan masyarakat berkongsi pemasalahan dan melontarkan pandangan kepada pemimpin.

Menerusi WRUR, barisan Exco Kerajaan Negeri akan turun ke agensi berkaitan untuk melihat dan mendengar isu berkaitan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Bagi jururawat masyarakat yang bertugas di Klinik Desa Kuala Linggi, Norhasidah Abdullah berkata, peluang dapat berjumpa dengan Exco dan Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri bagi berkongsi operasi serta keadaan klinik tempatnya bertugas tidak pernah dijangka.

“Mungkin sebelum ini susah untuk berjumpa dengan Exco kerana kesibukan mereka tetapi menerusi WRUR ia memberi peluang khususnya kami berkongsi perkara berkaitan operasi dan perkembangan klinik.

“Selain itu, kami juga secara terus dapat menerangkan hal berkaitan atau pemasalahan yang dihadapi, cara ini lebih berkesan kerana Exco melihat secara jelas tentang hal yang dikemukakan.

“Saya berharap ia tidak terhenti di sini kerana menerusi insiatif sebegini dapat merapatkan hubungan antara kakitangan awam, rakyat dan kepimpinan,” katanya.

Whatsapp Image 2025 01 06 At 6.22.35 Pm
NORHASIDAH.

Norhasidah ditemui selepas menerima kunjungan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem ke Klinik Desa Kuala Linggi bersempena Program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abdul Azis serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah.

Sementara itu seorang lagi jururawat masyarakat dari Klinik Desa Kuala Linggi, Salina Mohamad berkata, insiatif WRUR adalah usaha yang sangat bagus dibawa Kerajaan Negeri Melaka dalam menyantuni masyarakat.

“Sudah pastinya dengan lawatan turun padang Yang Berhormat (YB) akan ada penambahbaikkan atau sesuatu yang baru hasil daripada apa yang disuarakan.

“Pertemuan empat mata memudahkan kami untuk berkongsi atau menyampaikan perkembangan semasa klinik,” katanya.

Whatsapp Image 2025 01 06 At 6.23.24 Pm
MOHAMAD Anuar.

Manakala penduduk Kampung Telok Gong Mohamad Anuar Ibrahim, 43, berkata, inisiatif WRUR perlu diteruskan kerana ia menjadi medan untuk rakyat atau penduduk menyampaikan isu atau permasalahan secara terus tanpa perlu melalui peringkat-peringkat tertentu.

“Saya sudah lama mahu suarakan supaya pejabat pos di sini dapat dibesarkan, kali ini secara kebetulan ia dapat diluahkan apabila berjumpa YB Adun Kuala Linggi.

“Menerusi WRUR ini ia secara tidak langsung memberi ruang kepada pemimpin memantau keadaan penduduk setempat dan menambah baik sesuatu perkara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

152
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL JADI PENANDA ARAS PROJEK SISTEM ALAMAT NASIONAL
Next post MELAKA HASRAT GUBAL UNDANG-UNDANG KECIL PBT BERHUBUNG PEMASANGAN QR PADA TERNAKAN
Ubah saiz-+=